TAHUN ini nyata menjadi fasa paling bermakna dalam hidup pelakon berbakat, Qi Razali.
Bukan sahaja melakar sejarah peribadi dengan mendirikan rumah tangga dan merangkul anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM), Qi kini berkongsi satu lagi berita yang cukup membahagiakan apabila bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi.
Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali, 48, mengesahkan isterinya, Wardah Hayati kini sedang hamil lima bulan.
Berita gembira itu didedahkan sendiri oleh Qi menerusi satu sesi temu bual video baru-baru ini selepas sekian lama memilih untuk berdiam diri daripada berkongsi kepada umum.
Menurut Qi, tarikh jangkaan kelahiran anak pertama mereka dijangka sekitar penghujung Mac tahun depan. Katanya, keputusan untuk mendedahkan berita itu dibuat selepas kandungan isterinya melepasi fasa awal dan berada dalam keadaan baik.
“Tahun ini sangat baik buat saya kerana mendirikan rumah tangga, menang anugerah pelakon terbaik di FFM dan bakal menjadi bapa pula nanti.
"Syukur, rezeki datang bertimpa-timpa,” katanya dengan nada penuh kesyukuran.
Pelakon filem Babah itu memberitahu, sebelum ini ramai yang membuat andaian mengenai kehamilan isterinya, namun dia memilih untuk tidak mengulas atau berkongsi secara terbuka.
“Sekarang ini kandungan sudah masuk lima bulan lebih. Ini kali pertama saya dedahkan sebab sebelum ini semua hanya teka-teka.
Insya-ALLAH, kemungkinan anak pertama kami lahir hujung Mac nanti. Minta semua doakan semoga semuanya dipermudahkan,” katanya.
Bercerita tentang keadaan Wardah sepanjang kehamilan, Qi memaklumkan isterinya tidak mengalami alahan teruk, sebaliknya hanya keletihan biasa yang sering dialami ibu hamil.
“Alhamdulillah, keadaan isteri sangat baik. Cuma cepat penat sikit.
"Ada juga ‘craving’ kecil-kecilan, kadang-kadang minta nak makan pancake dan minta pegang baju saya,” ungkapnya lagi.
Perkongsian ringkas itu nyata memperlihatkan sisi Qi sebagai seorang suami yang penyayang dan mula menyesuaikan diri dengan fasa baharu sebagai bakal bapa.
Untuk rekod, Qi Razali dan Wardah Hayati, 30, selamat disatukan sebagai suami isteri dalam satu majlis pernikahan tertutup yang berlangsung di Gopeng, Perak pada 25 Mei lalu.
Pasangan itu memilih untuk menjalani kehidupan rumah tangga secara sederhana dan privasi, selari dengan prinsip hidup Qi yang lebih selesa meraikan kebahagiaan tanpa terlalu menonjol.
Kini, kehadiran cahaya mata sulung bakal melengkapkan lagi perjalanan hidup Qi Razali yang dilihat semakin seimbang antara kerjaya, cinta dan keluarga.