PENYANYI Shila Amzah membuktikan, persahabatan sebenar tidak mengenal latar belakang.
Dalam perkongsiannya baru-baru ini, pelantun lagu Memori Tercipta itu menolak stigma lama tentang broken home.
Tanpa berselindung, Shila berkongsi prinsip hidupnya yang menolak penilaian berdasarkan latar belakang keluarga, sebaliknya memilih untuk meraikan nilai kemanusiaan dan kasih sayang sesama insan. Pandangan yang cukup matang itu cukup menyentuh hati.
Hantaran yang dimuat naik menerusi Threads itu mendedahkan dirinya pernah menerima nasihat agar tidak bergaul dengan individu daripada latar belakang tertentu, khususnya mereka yang membesar dalam keluarga broken home.
Namun, ibu kepada sepasang cahaya mata itu memilih jalan berbeza.
“Ada orang cakap jangan bergaul dengan orang yang berasal dari broken home, circle saya memang sama ada broken home atau anak yatim,” tulisnya jujur.
Bagi Shila, latar belakang bukan ukuran untuk menilai siapa seseorang itu hari ini.
Malah, dia berbangga dikelilingi rakan-rakan yang membesar dengan cabaran hidup tersendiri, namun kaya dengan empati, kekuatan dan keikhlasan.
Menurutnya, setiap insan berhak menerima dan memberi kasih sayang tanpa dihukum oleh sejarah silam yang bukan pilihan mereka.
“Kita semua berhak dapatkan rasa sayang antara satu sama lain. Semua itu terjadi bukan dari kemahuan atau pilihan kami.
"Memang benar trauma silam itu bukan untuk yang lemah,” ujarnya lagi.
Luahan itu turut disusuli rasa syukur apabila isteru kesayangan Ubai itu mengakui kehadiran rakan-rakan yang setia di sisi menjadi sumber kekuatan dalam perjalanan hidup dan kerjayanya.
“Namun, saya bersyukur saya temui rakan-rakan yang baik. Terima kasih kerana selalu ada,” tambahnya penuh makna.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberikan sokongan padu terhadap kenyataan Shila.
Ramai yang menyifatkan pandangan penyanyi itu sebagai matang, berjiwa besar dan mencerminkan nilai kemanusiaan yang tinggi, malah tidak kurang yang mendoakan kebahagiaan serta ketenangan buat dirinya.
Dalam kesibukan dunia glamor, pendirian anak kepada penyanyi dan pelakon veteran, Datuk ND Lala itu mengingatkan bahawa keikhlasan, empati dan sokongan emosi jauh lebih bernilai daripada status atau latar belakang seseorang.