DI sebalik jadual kerja yang padat dan kerjaya cemerlang, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor membuktikan bahawa peranan sebagai seorang bapa tidak boleh dipinggirkan.
Bagi beliau, kejayaan seorang ibu bapa bukan diukur melalui pencapaian diri semata-mata, tetapi sejauh mana anak-anak mampu melangkaui batas kemampuan generasi sebelumnya.
Dalam satu perkongsian yang cukup menyentuh hati, bekas angkasawan itu mengingatkan bahawa ramai ibu bapa hari ini terlalu sibuk dengan kerjaya dan urusan di luar rumah sehingga terlepas peluang mendidik anak-anak sendiri.
"Pergi pagi, balik malam, akhirnya sukar untuk bermanja, berbual dan menyemai nilai kehidupan bersama anak.
"Hakikatnya, anak-anak tidak membesar menunggu ibu bapa lapang,"kongsinya lagi.
Bagi beliau, kehadiran, perhatian dan hubungan emosi dengan anak-anak adalah pelaburan paling berharga.
"Anak-anak yang membesar dengan sokongan emosi dan kasih sayang akan lebih bersedia menghadapi dunia luar dengan keyakinan serta nilai yang betul.
"Ungkapan ini bukan sekadar kata-kata motivasi, sebaliknya menjadi prinsip hidup dan pegangan keibubapaan saya.
“Saya amat pentingkan pendidikan, bagi saya anak-anak adalah segalanya," tegas beliau lagi.
Dengan tujuh cahaya mata berusia 14 hingga 2 tahun, Datuk Dr Sheikh Muszaphar dan Datin Dr Halina menekankan bahawa anak-anak mesti dibimbing untuk menjadi lebih hebat daripada generasi sebelumnya.
Mereka menetapkan ‘undang-undang’ dalam keluarga: anak-anak mesti boleh membaca seawal 4 tahun, khatam al-Quran pada usia 5 tahun, menguasai bahasa Mandarin, cemerlang dalam akademik dan sukan, kerana enam tahun pertama dianggap paling kritikal dalam pembentukan minda.
“Ini pertama kali dalam tempoh enam tahun, minda anak berkembang pesat sehingga 90 peratus seperti orang dewasa.
"Ketika ini, segala-galanya perlu diterapkan,” katanya.
Prinsip ini menekankan bahawa setiap anak bijak, tetapi kejayaan mereka bergantung kepada penglibatan ibu bapa untuk membimbing dan menerapkan nilai.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa bahawa pendidikan bukan hanya tertumpu pada akademik semata-mata.
Justeru katanya, betapa pentingnya ‘family time’. Anak-anak bukan sahaja belajar melalui nasihat, tetapi melalui pemerhatian terhadap sikap, cara berfikir dan tindakan ibu bapa.
“Kalau kita mahu anak berjaya, kita sendiri kena tunjukkan usaha dan nilai yang betul,” jelas beliau.
Sementara itu, sebagai pengasas tadika Keedsflix yang kini mempunyai lebih 300 cawangan, figura dalam bidang perubatan melihat pendidikan awal kanak-kanak sebagai kunci utama melahirkan generasi berjaya.
“Saya ingin melahirkan ummah-ummah yang berjaya,” luahnya lagi.
Projek usahasama bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dan SmartSens.Q bagi membangunkan modul pembelajaran al-Quran untuk kanak-kanak Autism Spectrum Disorder (ASD) adalah bukti komitmen beliau dalam pendidikan inklusif.
Pendekatan multisensori ini membolehkan setiap anak mendapat peluang pendidikan yang sesuai dengan keperluan mereka.
“Prinsip saya, anak mesti lebih hebat daripada bapanya," ungkap itu bukan tentang persaingan atau perbandingan, tetapi amanah.
Amanah untuk menyediakan laluan lebih baik, nilai lebih kukuh dan masa depan lebih cerah bagi generasi seterusnya. Semuanya bermula dari rumah, melalui contoh yang baik, sokongan emosi konsisten, dan pendidikan seimbang sejak usia kecil.
Bak kata Datuk Dr Sheikh Muszaphar, setiap anak bijak, bergantung kepada siapa yang membimbingnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran ibu pejabat baharu Keedsflix di Puncak Alam, Selangor, yang turut meraikan pencapaian pembukaan lebih 300 cawangan tadika Keedsflix di seluruh negara.