Konsert Legacy 30: Siti Nurhaliza bakal hiburkan 63,000 penonton, bukti artis tempatan mampu tawan stadium bertaraf antarabangsa 

Iklan

SEMPENA 30 tahun di dalam industri hiburan tanah air, Biduanita negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menyatakan kesediaan untuk menghiburkan lebih 63,000 penonton pada Konsert Legacy 30 pada 10 Januari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bukan sekadar persembahan biasa, konsert mega tersebut bersempena sambutan 30 tahun perjalanan seni Siti Nurhaliza yang bersifat bermakna, penuh emosi dan bersejarah, 

Iklan
Iklan

"Konsert istimewa ini bukan sekadar sebuah persembahan pentas, sebaliknya merupakan simbol penghargaan terhadap legasi seni, dedikasi serta sokongan padu daripada para peminat, pasukan industri dan keseluruhan ekosistem kreatif yang telah bersama-sama membina dan menyokong perjalanan seni Siti Nurhaliza sepanjang tiga dekad.

Iklan

"Setelah membuktikan kejayaan menerusi beberapa siri konsert berskala besar sebelum ini, Legacy 30 Siti Nurhaliza bakal menghimpunkan elemen muzik, penceritaan, visual dan emosi yang merangkumi keseluruhan perjalanan kerjaya saya bermula daripada langkah awal sebagai anak seni sehingga diangkat sebagai ikon seni negara," kongsinya. 

Anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang itu menyatakan rasa syukur kerana bekerja dengan pasukan produksi berpengalaman dan menjanjikan elemen kejutan kepada peminatnya.

Iklan

“(Konsert) telah lama dirancang dengan sasaran kehadiran seramai 63,000 penonton.

“Selebihnya kita serahkan kepada ALLAH, sebab itu saya sangat berhati-hati menjaga kesihatan,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan di Menara Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam pada itu, Siti menegaskan konsert berkenaan tidak  bertujuan untuk bersaing dengan artis lain, sebaliknya beliau mahu membuktikan artis tempatan juga mampu mengadakan persembahan setanding konsert antarabangsa di stadium berkenaan yang memiliki kapasiti tempat duduk penonton paling ramai di Asia Tenggara itu.

Istimewanya, konsert berkenaan turut menampilkan Cakra Khan, Noh Salleh, Hafiz Suip dan Umairah sebagai artis undangan.

Bercakap tentang pemilihan lagu, Siti berkata kebanyakan karya yang bakal dipersembahkan merupakan hasil ciptaan komposer tempatan iaitu Allahyarham Adnan Abu Hassan dan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah.

“Ini juga menjadi penghargaan kepada tokoh-tokoh muzik yang banyak mencorakkan kerjaya saya dalam seni hiburan.

Konsert yang diadakan sehari sebelum ulang tahun kelahiran Siti yang ke-47 ini menampilkan Aubrey Suwito selaku pengarah muzik bersama barisan pemuzik profesional. Persembahan ini turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Istana Budaya, dengan penampilan Orkestra Simfoni Kebangsaan, Orkestra Tradisional Malaysia dan Artistana Istana Budaya. 

Ia dibawakan khas oleh CUCKOO, dengan Affin Bank sebagai penaja utama, serta sokongan tajaan daripada ZEEKR, HABIB, AirAsia dan SOGO. Antara rakan penaja lain yang turut bekerjasama ialah Ombak Exclusive, Zai Sri Gemilang, Events Medical Support dan Hyatt Place.

Setakat ini difahamkan hampir 98 peratus tiket habis terjual.