SETIAP kejayaan selalu bermula dengan langkah pertama yang berani dan kadang-kadang, langkah itu bermula dari hati yang ikhlas ingin memberi, bukan sekadar mengejar keuntungan.
Itulah yang tercermin dalam perjalanan pengasas GVT Sdn Bhd (Go Auto), Wan Ahmad Wan Omar atau mesra dipanggil WAWO.
Bagi ramai orang, dunia automotif adalah tentang angka jualan dan teknologi canggih. Tetapi bagi WAWO, ia lebih daripada itu. Ia tentang impian besar, keberanian mengambil risiko, dan keberkatan dalam setiap langkah perniagaan.
Bermula sebagai sebahagian daripada pasukan pengasas projek kereta nasional kedua Malaysia, Perodua, WAWO bukan sahaja seorang jurutera berbakat, malah seorang pemimpi yang berani meninggalkan kerjaya korporat yang selesa untuk menubuhkan kilang kenderaan sendiri.
Keputusannya itu berisiko tinggi, tetapi ia membuahkan hasil yang luar biasa.
Hampir 10,000 van, bas dan trak telah dihasilkan oleh Go Auto, termasuk kenderaan elektrik (EV) yang kini menjadi fokus syarikat seiring aspirasi hijau dan kelestarian alam sekitar. Tidak sekadar prototaip, van komersial EV keluaran Go Auto adalah yang pertama dihasilkan oleh syarikat Bumiputera dan telah digunakan di lapangan.
Langkah WAWO ke pentas antarabangsa juga mengagumkan. Projek eksport kereta bugi EV ke Amerika Syarikat dilengkapi sistem solar, GPS, kamera undur, TV, dan sistem telematik, yang mana 80 peratus komponennya dihasilkan di Malaysia, bukti kemampuan industri tempatan bersaing di peringkat global.
Inisiatif CSR wakaf van jrnazah
Tetapi, apa yang paling menonjol bukanlah angka atau teknologi semata-mata. Hati nurani WAWO sebagai seorang usahawan anak didik Dr. Azizan Osman jelas terserlah melalui nilai keberkatan dan tanggungjawab sosial.
Di bawah pimpinan beliau, GVT Sdn Bhd (Go Auto) menjalankan pelbagai inisiatif CSR. Lebih 20 van jenazah diwakafkan kepada masjid dan surau, 2,000 kampit beras disumbangkan setiap tahun kepada golongan memerlukan, dan baru-baru ini, kereta bugi EV diwakafkan untuk kegunaan madrasah Ustaz Wadi Annuar di Sungai Petani.
Selain itu, WAWO juga menjadi pelopor Bumiputera dalam industri automotif dengan kerjasama antarabangsa, termasuk pelantikan sebagai rakan pemasangan dan pengedar dua jenama kenderaan komersial terbesar China, Yutong dan Higer. Go Auto juga menjadi pembekal kenderaan kepada institusi utama seperti Prasarana Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB), serta agensi kerajaan dan organisasi swasta lain.
Bagi WAWO, kejayaan tidak bermakna sekadar keuntungan, tetapi memberi manfaat kepada orang lain. Ia adalah tentang nilai kemanusiaan, tanggungjawab sosial, dan keberanian untuk bermimpi.
Namun perjalanannya bukan tanpa cabaran. Pada tahun 2020, perniagaan hampir terkubur sepenuhnya.
Saat itu, beliau baru sahaja menyertai program bimbingan berterusan bersama RichWorks.
Bangkit daripada hampir kejatuhan bukanlah mudah, tetapi WAWO membuktikan bahawa tiada yang mustahil bagi mereka yang berani berusaha dengan hati yang ikhlas.
Kisah WAWO adalah inspirasi kepada semua: kejayaan yang sejati bukan sahaja diukur dengan pencapaian perniagaan, tetapi dengan sejauh mana kita mampu memberi kebaikan kepada orang lain dan meninggalkan legasi yang bermakna.