PELAKON Kamal Adli menjadi sebutan ramai selepas kisah mengenai ibunya, Ustazah Alawiyatun, tular di media sosial.
Keperibadian ibunya yang disifatkan sebagai chill, kelakar dan dekat dengan pelajar mencuri perhatian netizen, termasuk bekas anak murid yang berkongsi kenangan manis ketika berkhidmat di sebuah sekolah menengah di Kajang, Selangor.
Perkongsian di media sosial Threads mendedahkan latar belakang ibu Kamal, Ustazah Alawiyatun, yang pernah mengajar Pendidikan Agama Islam (PAI).
"Kamal Adli memang dari Kajang. Emaknya ustazah mengajar subjek pendidikan agama di Convent Kajang.
"Siapa yang pernah dapat ustazah tu angkat tangan? Emaknya pun jenis lucu jugak kalau dalam kelas," kongsi pengguna Thread Haidi Shafiza.
Susulan itu, ramai yang tampil berkongsi pengalaman manis sepanjang bersama ustazah yang digambarkan sebagai peramah, kelakar dan penuh kasih sayang hingga meninggalkan kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh bekas pelajarnya.
Rata-rata tidak menyangka bekas guru itu memiliki anak berstatus selebriti.
"Saya bekas pelajar Ustazah Alawiyatun. Kelakar sangat ustazah."
"Bekas pelajar Ustazah Alawiyatun hadir. One of the chillest ustazah ever!"
"Ustazah Alawiyatun mengajar saya ketika di Tingkatan Dua tahun 2003. Ingat lagi saya pernah pergi rumah ustazah tolong masak sebab ada jamuan Puteri Islam. Tidak tahu pula ustazah ada anak teruna waktu itu."
"Betul emaknya ustazah saya juga dulu. Seronok belajar, ustazah chill."
"Saya bekas pelajar Ustazah Alawiyah. Pernah ke rumah Ustazah di Bangi. Kek coklat ustazah buat, sangat sedap."
"Saya anak didik ustazah. She is very proud of her son, Kamal. Mata dia bersinar-sinar kalau cakap pasal Kamal, suka tengok ustazah happy."
Kisah tentang Ustazah Alawiyatun bukan sahaja menunjukkan sisi kelakar dan chill seorang guru, malah menonjolkan betapa beliau disayangi oleh pelajar-pelajarnya.
Ramai yang mengimbau kembali kenangan manis itu, sekali gus membuat netizen tertarik melihat sisi peribadi Kamal Adli sebagai anak seorang ustazah yang penyayang.
Tidak hairanlah, keperibadian positif ibu dipercayai turut memberi inspirasi kepada Kamal dalam perjalanan sebagai pelakon dan artis, menjadikannya bukan sahaja berbakat. Malah rendah hati dan dekat dengan peminat.
Sekadar info, Kamal Adli atau nama penuhnya Ahmad Kamal Ahmad Adli ialah juara Hero Remaja 2007/2008.
Popular dengan filem Niyang Rapik, Gangster Celop, Abang Long Fadil dan Takluk: Lahad Datu, Kamal kini sedang mempertahankan rumah tangganya dengan aktres Uqasha Senrose.
Kamal berkahwin dengan Uqasha pada 5 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Uqaira Hawra berusia 20 bulan.
Sumber: Thread