Konsert Malam Hijrah Bergema 2025 satukan seni, dakwah dan inspirasi sebagai alternatif hiburan bermakna sempena ambang tahun baharu

Iklan

AMBANG tahun baharu biasanya dikaitkan dengan hiburan riuh dan pesta tanpa makna mendalam.

Namun, malam 31 Disember lalu, Putrajaya International Convention Centre (PICC) menjadi saksi pengalaman berbeza apabila Konsert Malam Hijrah Bergema 2025 anjuran TV AlHijrah menggabungkan seni, muzik dan dakwah dalam satu platform yang menyentuh jiwa.

Iklan
Iklan

Ribuan pengunjung hadir, termasuk keluarga, rakan-rakan serta wakil kerajaan dan agensi agama, membuktikan bahawa hiburan Islamik kini diterima pelbagai lapisan masyarakat.

Seawal konsert bermula, alunan nasyid, selawat dan lagu-lagu bertemakan ketuhanan mengisi ruang dewan dengan suasana tenang, mendamaikan, namun sarat penghayatan.

Iklan

Hadirin dari pelbagai generasi duduk bersama-sama, menandakan bahawa seni yang membina nilai dan adab masih mendapat tempat di hati masyarakat, malah mampu menjadi medium menghayati makna hijrah jiwa.

Iklan

Konsert tersebut juga turut diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli.

Program itu menampilkan barisan artis tersohor seperti Rabbani, Raihan, UNIC, Lah Ahmad, Hijjaz, Mawi, Sufian Suhaimi, serta penyanyi legenda Datuk Hattan, Dato’ Jamal Abdillah dan Dato’ Nash.

Mereka menyampaikan karya bertemakan kerohanian dan penghijrahan diri seperti Pergi Tak Kembali, Intifada, Kasih Kekasih, Nurkasih dan Pada Syurga Di Wajahmu. Generasi baru munsyid muda seperti Simfoni, Rabithah, Fine, Aeydan, Onepath dan Andika turut memeriahkan pentas, menandakan kesinambungan seni nasyid antara veteran dan bakat muda.

Seni  bahasa  dakwah

Seperti ditegaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, hijrah yang ingin diketengahkan bukan sekadar perubahan luaran, tetapi melibatkan hijrah jiwa, akhlak dan cara berfikir.

"Seni adalah bahasa dakwah masa depan apabila mesej disampaikan dengan hikmah dan keindahan, ia bukan sahaja menyentuh hati, malah menyatukan generasi," ungkapnya ketika ditemui media usai tamat program berkenaan.

Keunikan konsert tersebut terletak pada gabungan elemen pop dan nasyid. Lirik-lirik lagu pop yang mengandungi unsur ketuhanan diperkuatkan dengan nasihat dan budaya pop yang diminati generasi muda, menyatukan peminat lama dan baru serta memberi alternatif positif sambutan ambang tahun baharu.

Kemuncak malam itu menyaksikan penonton bangkit bersama-sama mengalunkan selawat dan lagu-lagu bertemakan penghijrahan diri, mencipta detik simbolik menyambut tahun baharu dengan doa, muhasabah dan azam menjadi insan lebih baik.

Alternatif hiburan

Dari segi penganjuran, konsert berjalan lancar dengan kawalan keselamatan teratur serta kerjasama erat pelbagai agensi dan sukarelawan.

Konsert Malam Bergema turut diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli

Penukaran lokasi ke PICC terbukti tepat, membolehkan kawalan suasana, tenaga penonton dan kreativiti dipersembahkan dengan optimum. Komen di media sosial membanjiri pujian tentang pengalaman konsert yang berbeza daripada malam tahun baru biasa, menunjukkan masyarakat menghargai alternatif hiburan bermakna dan beradab.

“Kalau kita tidak ada konsep seperti ini, mungkin anak-anak muda akan pergi ke hiburan tanpa nilai. Kita mahu menyediakan pilihan hiburan yang terkawal, bermakna dan membina jiwa.

“Ini bukan sekadar konsert, ini adalah pengalaman hidup yang memberi pilihan kepada masyarakat untuk merayakan tahun baharu dengan makna, adab dan inspirasi,” tambah Namanzee.

Konsert Malam Hijrah Bergema menandakan keberhasilan TV AlHijrah memperkasakan seni sebagai medium dakwah, menggabungkan nilai kerohanian, hiburan berkualiti dan pendekatan inklusif.

Program sebegini bukan sahaja menginspirasikan penonton, malah membuka peluang untuk menjadi acara tahunan yang menyemarakkan pengisian rohani, membina jiwa dan menyatukan masyarakat dari tahun ke tahun.