KECEKALAN Rita Rudaini sebagai ibu tungggal membesarkan dua cahaya matanya sering kali menjadi inspirasi.
Baru-baru ini, Rita merealisasikan impian dua cahaya matanya, Airit Rayyan Rizqin, 16, dan Airit Qaqa Arjuna, 14, mengunjungi stadium kelab bola sepak Inggeris di London.
Berkongsi video Rayyan dan Arjuna mengunjungi stadium kelab bola sepak Arsenal iaitu Emirates UK di Holloway, London, pelakon berusia 49 tahun itu mengakui tidak dapat menahan sebak.
"Akhirnya mommy dapat menunaikan janji kepada anak-anak dengan stadium tour.
"Sudah lama mereka teringin. Mommy cakap, jadilah anak-anak yang baik, insya-ALLAH, ALLAH akan bantu dan mempermudahkan setiap keinginan kamu.
"Di sinilah kami (hari ini). Sila nikmati saat ini, mommy sebak," titip Rita.
Dua beradik berkenaan dilihat menghargai momen yang ada dengan berjalan-jalan di sekitar stadium yang menjadi tempat perlawanan dan acara rasmi Arsenal itu.
Warga maya menzahirkan rasa sebak dan mendoakan impian menjadi pemain bola sepak profesional menjadi kenyataan.
"Belajar elok-elok ya. Jadi seorang pemain bola sepak yang handal. Semoga suatu hari nanti, nama adik akan berkumandang sebagai pemain bola sepak terkenal dunia, seperti Ronaldo dan Messi.
"Saya menghormati Rita, Bella Astillah dan Shu Shukri kerana jelas terlihat cara mereka membesarkan anak-anak dengan penuh dedikasi. Mungkin di luar sana terdapat individu lain yang sama hebat tetapi tidak saya kenali, namun ketiga-tiga mereka membuatkan saya yakin bahawa semuanya boleh"
"Masya-ALLAH, anaknya membesar dengan sangat baik. Di sebalik kepahitan, ada kemanisan. Janji ALLAH itu pasti."
"“Semoga impian menjadi kenyataan. Tidak hairanlah syurga di telapak kaki ibu, kerana seorang ibu sanggup berbuat apa sahaja demi anak-anak.”
Sekadar info, Rayyan dan Arjuna cemerlang akademik dan aktif dalam sukan bola sepak.
Rita pernah menyatakan pendiriannya dan memberi 'lampu hijau' kepada Rayyan untuk menjadi pemain bola sepak profesional dengan syarat memastikan hafalanal-Quran sentiasa tersemat di dada di samping cemerlang dalam akademik.
Rayyan yang kini pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) aliran Ulul Albab sering meraih kejayaan dalam peperiksaan dan mewakili maktabnya dalam sukan bola sepak serta olahraga.
Seperti abang, anak kedua Rita, Arjuna juga aktif dalam sukan berkenaan dan baru-baru ini mewakili akademi bola sepak terkemuka, FC Kuala Lumpur.