PENGACARA terkenal Helmi Gimmick disahkan mengalami kanser buah pinggang tahap empat.
Memetik hantaran di Facebook Pengarah Datuk Jurey Latiff Mohd Rosli, Hemi dirawat di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) dan bakal menjalani prosedur pembedahan.
"Hari ini saya berkesempatan menziarahi sahabat seni, Helmi Gimmick, yang sedang diuji dengan kanser buah pinggang tahap empat.
"Insya-ALLAH beliau dijadualkan menjalani pembedahan membuang satu buah pinggang pada hari Khamis ini.
"Sama-sama menitipkan doa agar pembedahan Helmi Gimmick dipermudahkan, pembedahan berjalan lancar, diberi kekuatan, ketabahan serta dikurniakan kesembuhan," kongsinya.
Lebih memilukan, Jurey turut berkongsi perihal Helmi yang terus bekerja walaupun sakit.
"Beliau menghidap kanser buah pinggang tahap empat, namun memilih untuk diam, kerana satu ketakutan yang menghantui ramai anak seni.
"Jika masuk hospital, tiadalah lagi panggilan kerja. Jika tiada kerja, tiadalah pendapatan.' Inilah realiti yang pahit.
"Ramai anak seni memilih untuk terus bekerja walau sakit, melambatkan rawatan, menangguhkan kesihatan demi kelangsungan hidup. Bukan kerana mereka tidak sayang diri, tetapi kerana mereka tiada pilihan," titipnya.
Sementara itu, pemilik nama Harun Tahir, 65, berkongsi hantaran pilu.
"Aku reda Ya ALLAH, dari wad hospital," kongsinya yang berkongsi turut menerima kunjungan ziarah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Sekadar info, Helmi terkenal dengan filem-filem lakonannya seperti Mr Cinderella, MX3 dan Janji Diana. Helmi juga dikenali menerusi rancangan di saluran ntv7 dan TV9.
Helmi yang mahir bahasa Melayu, Inggeris,vCina, Tamil dan sedikit asas bahasa Perancis pernah menjadi juruhebah di Time Highway Radio (THR) atau kini dikenali Gegar.