MESKI bergelar selebriti dan aktif dengan pelbagai aktiviti riadah seperti pickleball, pelakon dan usahawan, Elfira Loy sebenarnya lebih selesa menguruskan sendiri rumah tangga serta anak-anak tanpa bantuan pembantu rumah.
Ibu kepada dua cahaya mata itu mengakui keputusan tersebut dibuat selepas pengalaman kurang menyenangkan apabila bertukar pembantu rumah sebanyak lima kali, sekali gus membuatkannya serik.
Menurut Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Ahmad Sabri, tanggapan sesetengah pihak yang menyangka dia mempunyai pembantu rumah kerana dilihat aktif di luar adalah tidak benar.
“Saya memang uruskan sendiri anak-anak tanpa pengasuh atau pembantu. Semua buat sendiri,” jelasnya jujur.
Berkongsi dari sudut emosi, Elfira mengakui bukan mudah untuk mengetepikan kerjaya yang telah lama dibina, namun kebahagiaan membina keluarga kecil mengatasi segalanya.
“Sudah tentu ada rasa rindu pada kerjaya. Tapi perasaan bahagia membina keluarga itu lebih besar. Pada fasa ini, anak-anak lebih perlukan saya.”
Tambahnya, pada awalnya dia juga berdepan konflik dalaman dan merasakan seolah-olah tidak adil jika perlu menguruskan semuanya sendiri.
“Dulu saya rasa susah sebab fikir sepatutnya ada pembantu, suami pun patut tolong. Tapi bila bergaul dengan suri rumah, saya sedar ini memang kerja sebenar mereka. Dan ia sebenarnya normal," ujarnya menerusi satu temu bual sebelum ini.
Pengalaman bergaul dan bertukar pandangan dengan ibu-ibu lain banyak membuka mata Elfira, selain mengajarnya untuk tidak membandingkan diri dengan orang lain.
“Apa yang menyusahkan kita ialah bila kita asyik membandingkan diri. Kita fikir ibu mesti tahu semua perkara, tapi sebenarnya tidak.”
Pelaburan emosi
Isteri kepada Muhamad Faris Khairol Anuar itu mengakui, kunci utama adalah pengurusan masa dan jadual yang teratur.
Dia juga tidak menafikan setiap ibu perlukan ruang untuk diri sendiri.
“Saya tak beri 100 peratus sebagai ibu sahaja. Saya perlukan masa untuk diri sendiri. Yang penting jadual itu betul, jadi semuanya lebih mudah.”
Meskipun mengakui mampu menggaji pembantu rumah, Elfira memilih sebaliknya selepas berdepan pelbagai isu termasuk anak yang tidak selesa serta pembantu yang tidak meneruskan kerja ketika dia terlibat dengan penggambaran.
“Bila jadi macam itu, jadual saya jadi kucar-kacir. Saya terpaksa guna khidmat pihak ketiga dan kosnya pula hampir tiga kali ganda," ungkap wanita berumur 31 tahun itu lagi.
Baginya, berehat seketika daripada dunia seni bukan satu kerugian, malah satu pelaburan emosi buat dirinya dan anak-anak.
Bukan itu sahaja, Elfira turut mengakui lebih tenang dan bahagia dengan pilihannya.
“Tak salah pun berhenti sekejap kerja untuk jaga anak. Anak-anak lebih selesa bila saya ada di rumah, mereka suka masakan saya. Saya pun tak tertekan.
“Saya gembira berada di rumah. Sebab itu saya mahu teruskan begini,"ujarnya.