TULAR kisah seorang gadis disyaki menyamar pramugari syarikat penerbangan Batik Air. Wanita bernama Khairun Nisya, 23, menjadi sorotan dunia selepas didapati memakai seragam kru kabin dalam penerbangan dari Palembang ke Jakarta.
Memetik Kompas, pihak polis mengesahkan bahawa tiada unsur kesalahan jenayah ditemui dalam kes berkenaan.
Ketua Siasatan Jenayah Polresta Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Kompol Yandri Mono, berkata hasil siasatan mendapati tiada pelanggaran undang-undang mahupun petunjuk perlakuan jenayah.
“Sepanjang pemeriksaan, tidak ditemui sebarang unsur kesalahan jenayah terhadap individu berkenaan,” kata Yandri.
“Batik Air tidak membuat sebarang tuntutan. Bagaimanapun, individu berkenaan telah membuat surat pernyataan untuk tidak mengulangi perbuatannya dan semua aksesori Batik Air yang digunakan telah dirampas,” tambahnya.
Artikel penuh:
- Kantoi pemuda 20 tahun, menyamar jadi doktor di PPV Kuching
- 7 bulan menyamar doktor pelatih di Australia, wanita Malaysia didenda RM29,743.59
Difahamkan, Nisya mengenakan seragam pramugari Batik Air ketika berada di dalam pesawat. Menerusi sebuah video tular dimuat naik @jabodetabek24info, Nisya membeli tiket sendiri seperti penumpang biasa, sekali gus membolehkannya melepasi pemeriksaan pas masuk (boarding pass).
“Ketika proses menaiki pesawat, individu berkenaan terlepas kerana memiliki boarding pass.
"Namun, semasa berada di dalam pesawat dan disoal oleh kru bertugas, jawapannya tidak konsisten dan tidak selari dengan standard pramugari,” kongsinya.
Kru kabin kemudiannya mengesyaki terdapat perbezaan pada seragam yang dipakai Nisya, khususnya pada bahagian skirt.
“Kru pesawat curiga kerana coraknya berbeza,” katanya.
Kekecohan timbul ketika pesawat tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Soekarno-Hatta. Difahamkan, anggota Aviation Security (Avsec) menunggu di pintu ketibaan sebelum membawa wanita berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.
Difahamkan wanita itu membeli baju seragam dan aksesori pramugari Batik Air, termasuk tanda nama dan beg beroda dari kedai dalam talian.
Dia bercadang untuk menukar pakaian selepas tiba di lapangan terbang, namun kesuntukan masa sehingga terpaksa mengenakan seragam berkenaan ketika menaiki pesawat.
Pihak polis memaklumkan bahawa tiada sebarang pelanggaran undang-undang dalam kes ini. Pihak Batik Air juga tidak mengemukakan sebarang tuntutan.
Wanita dari Palembang, Sumatera Selatan itu kemudian tampil menerusi sebuah video memberikan penjelasan lanjut dan membuat permohonan maaf.
"Saya mengakui bukan pramugari dan tidak pernah menjadi sebahagian daripada kru mana-mana syarikat penerbangan. Hanya impian yang tidak tercapai.
"Saya memohon maaf kepada Batik Air, Lion Group dan semua pihak yang terkesan," katanya.
Menurutnya, tindakan yang dilakukan adalah atas kesilapan sendiri dan tidak melibatkan mana-mana individu lain.
"Video ini dibuat atas kesedaran sendiri, tanpa paksaan sesiapa. Saya menyesal dan berjanji tidak mengulanginya," ujarnya.
Terdahulu, wanita berkenaan difahamkan aktif di laman sosial TikTok dan kerap berkongsi konten berkaitan kerjaya pramugari. Namun akaunnya telah dipadamkan selepas kes berkenaan tular.
Sumber: Kompas