DI saat orang ramai memperkata akan kontroversi melanda dirinya dan bekas isteri.
Namun tiba-tiba media sosial dikejutkan apabila personaliti media sosial popular, Chazynash akhirnya menutup lembaran kisah lamanya apabila kembali bergelar suami dalam sebuah majlis tertutup yang penuh sederhana dan elegan.
Chazynash atau nama sebenarnya Syed Fernarsh Syed Badlishah selamat bernikah dengan wanita pilihan hatinya yang dikenali sebagai Sity Rosli, sekali gus menamatkan zaman dudanya.
Momen tersebut dimuat naik oleh tuan punya badan menerusi Instagram Stories miliknya.
Pun demikian, ia terlebih dahulu menjadi bualan apabila beberapa keping gambar pernikahan mereka tular di aplikasi Threads.
Dalam hantaran tersebut menampakkan majlis yang berlangsung dalam suasana eksklusif itu katanay diadakan di Eastern & Oriental, Pulau Pinang.
Bertemakan rona putih sebagai pilihan utama, ia hanya dihadiri ahli keluarga serta sahabat terdekat, mencerminkan konsep majlis yang ringkas namun bermakna.
Turut kelihatan dalam gambar ialah anak-anak Chazynash yang hadir dan bergambar bersama pengantin baharu.
Untuk rekod, Chazynash pernah mendirikan rumah tangga bersama Fatin Morat pada tahun 2014 sebelum berpisah secara baik pada 23 Januari 2025.
Namun, perceraian tersebut hanya disahkan oleh Chazynash beberapa bulan kemudian, iaitu pada Mei 2025, selepas timbul pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.
Menurut Chazynash, perpisahan itu berpunca daripada kesilapannya sendiri dan berlaku atas persetujuan bersama tanpa sebarang konflik berpanjangan.
Hasil perkahwinan terdahulu, mereka dikurniakan tiga orang anak perempuan.
Baru-baru ini kisah Chazynash dan ebkas isteri menjadi tular. Lantaran itu, dia tampil menjelaskan kedudukan sebenar berhubung dakwaan kononnya gagal menunaikan tanggungjawab sebagai bapa selepas berpisah dengan Fatin Morat.
Menerusi satu hantaran panjang di Instagram, anak kelahiran Perlis itu mendedahkan, keputusannya bersuara dibuat selepas lama memilih untuk berdiam diri, namun mendakwa sikap itu disalah tafsir sehingga mengundang pelbagai tohmahan terhadap dirinya.
Dalam hantaran tersebut, bapa kepada tiga cahaya mata itu memberitahu, jumlah keseluruhan nafkah dan perbelanjaan anak-anak yang ditanggung setiap bulan adalah RM8,200.
"la merangkumi tempat tinggal, kereta, pendidikan, makan minum, barang dapur, insurans, internet, bil elektrik, bil air, water dispenser dan upah driver menghantar dan mengambil anak-anak ke sekolah.
Dalam hantaran sama, lelaki berusia 37 tahun itu turut menolak dakwaan kononnya bekas isterinya hidup dalam keadaan serba kekurangan, selain menegaskan segala keperluan anak-anak masih berada di bawah tanggungannya.
Jelasnya, keputusan untuk berpisah dibuat secara bersama dan dia memilih untuk tampil bersuara kali ini hanya bagi menjernihkan keadaan selepas namanya terus dikaitkan dengan pelbagai dakwaan di media sosial.