Anak kena tumbuk, dipulas tangan! Wawa Zainal dedah reaksi Aeril Zafrel - ‘Dunia memang keras, tapi jangan normalisasikan anak kena buli’

Iklan

KADANGKALA, apa yang orang dewasa anggap sekadar gurauan budak-budak, sebenarnya boleh meninggalkan kesan mendalam kepada anak yang mengalaminya.

Benarkah anak perlu dibiarkan menghadapi sendiri situasi sebegitu supaya lebih kuat? Atau ada masanya ibu bapa perlu campur tangan sebelum keadaan menjadi lebih serius?

Iklan
Iklan

Persoalan itu timbul selepas usahawan dan pelakon, Wawa Zainal berkongsi pengalaman anaknya yang pernah ditumbuk serta tangannya dipulas oleh rakan sekelas menerusi satu hantaran di Threads.

Menurut Wawa, kejadian itu pernah diceritakan kepada suaminya, Aeril Zafrel. Namun, reaksi Aeril ketika itu lebih bersikap terbuka dan menganggap perbuatan berkenaan mungkin sekadar gurauan sesama kanak-kanak lelaki.

Iklan

Bukan bermaksud dia merestui perbuatan kasar tersebut, sebaliknya berpendapat anak perlu belajar menghadapi realiti kehidupan yang tidak selalunya mudah.

Iklan

“Dunia ini keras. Kalau terlalu dimanjakan, nanti macam-macam lagi dia kena hadap apabila besar,” demikian antara pandangan yang dikongsikan Wawa mengenai reaksi suaminya ketika anak mereka menceritakan kejadian tersebut.

Bagaimanapun, apabila anaknya menceritakan satu lagi insiden, kali ini melibatkan tuduhan terhadap sesuatu yang tidak dilakukannya, Wawa merasakan sudah tiba masanya untuk bersuara dan tidak lagi mengambil pendekatan berdiam diri.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi pengguna Threads, terutama ibu bapa yang turut mempunyai pengalaman anak berdepan gangguan di sekolah.

Ada yang mengingatkan bahawa perbuatan membuli tidak seharusnya dianggap perkara biasa, apatah lagi apabila melibatkan kekerasan fizikal, ugutan atau gangguan emosi.

Seorang pengguna berkongsi pengalaman anaknya yang pernah dibuli di sekolah rendah. Usaha melaporkan kejadian kepada guru kelas pada awalnya tidak membuahkan hasil, sehingga ibu bapa terpaksa berjumpa guru besar selepas anak mereka menerima ugutan yang menakutkan.

“Jangan diam. Cerita anak ini kadang-kadang kita kena ambil serius. Boleh berjumpa cikgu dan tanya budak yang terlibat juga,” tulis seorang netizen yang berpendapat tindakan ibu bapa penting bagi mengelakkan perkara sama berulang.

Lebih menyedihkan, seorang lagi pengguna menceritakan anaknya yang baru berusia enam tahun dipulaukan oleh rakan sebaya selepas seorang kanak-kanak menghasut orang lain supaya tidak berkawan dengannya.

“Sebak tengok anak sebesar enam tahun berkaca mata nak main dengan kawan-kawan, tetapi dipulaukan,” luahnya, menggambarkan betapa buli bukan semata-mata melibatkan pukulan, malah pengasingan sosial juga boleh menyakitkan hati anak-anak.

Tidak kurang juga ibu bapa yang mengakui mereka sukar berdiam diri apabila anak pulang ke rumah dalam keadaan sedih atau menceritakan pengalaman dipukul dan dibuli.

Dalam masa sama, ada yang berpendapat pendekatan mendidik anak perlu seimbang. Anak perlu diajar untuk berani, berdikari dan tidak mudah mengalah, tetapi mereka juga perlu tahu bahawa perbuatan menyakiti, mengugut atau memulaukan orang lain bukan sesuatu yang boleh diterima.

Mengajar anak menjadi kuat bukan bermakna membiarkan mereka menanggung semuanya sendirian. Kadangkala, kekuatan seorang anak bermula apabila dia tahu ada ibu bapa yang akan berdiri di sisinya.