Zehra Zambri fail saman fitnah, laporan polis bekas suami disahkan NFA

Iklan

PENYANYI Zehra Zambri memaklumkan dirinya telah memfailkan satu Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap bekas suaminya, Nur Mohd Iqwan Samsudin, berhubung kenyataan yang didakwa bersifat fitnah sepanjang proses penceraian mereka sebelum ini.

Satu hantaran dibuat Zehra menerusi laman Instagram miliknya bagi berkongsi hal tersebut. 

Iklan
Iklan

Dia yang juga aktif dalam bidang pengacaraan memberitahu, tindakan undang-undang itu diambil susulan kenyataan berkenaan yang bukan sahaja disifatkan menghina dan tidak berasas, malah telah disebarkan secara meluas sehingga mencalarkan nama baik, maruah serta imej profesionalnya.

“Kenyataan tersebut telah memberi kesan besar kepada reputasi dan kehidupan profesional saya,” katanya.

Iklan

Anak jati Kuala Lumpur turut menjelaskan, keputusan untuk memfailkan saman itu dibuat selepas beliau menerima pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung laporan polis yang pernah dibuat terhadapnya, yang telah disiasat sepenuhnya dengan kerjasama penuh daripada pihaknya.

“Pihak berkuasa memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan lanjut atau No Further Action (NFA), sekali gus membuktikan laporan tersebut tidak berasas dan berunsur fitnah,” jelasnya.

Iklan

Dalam pada itu, Zehra menegaskan kepercayaannya terhadap sistem perundangan negara dan melihat tindakan sivil tersebut sebagai satu keperluan untuk mempertahankan diri secara sah.

“Saya percaya kepada proses undang-undang yang telus dan adil, dan tindakan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk membela nama baik saya,” katanya.

Wanita berusia 38 tahun itu turut menegaskan, langkah tersebut bukan bertujuan mencetuskan sensasi, sebaliknya untuk membetulkan tanggapan awam serta menuntut ganti rugi atas kemudaratan serius yang dialami.

“Saya berharap pihak media dan orang ramai dapat menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya lagi.

Sebelum ini, Zehra Zambri dan Nur Mohd Iqwan Samsudin sah bercerai talak satu. Dalam perkembangan berkaitan, Iqwan pernah tampil membuat kenyataan dan mengaku sebagai mangsa keganasan rumah tangga.

Untuk rekod, Zehra mendirikan rumah tangga bersama Nur Mohd Iqwan pada 10 November 2021 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia tiga tahun.

Terdahulu,  Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri Wan Mohd Effendi pada 14 Oktober 2017, namun perkahwinan itu hanya bertahan selama enam bulan sebelum mereka bercerai pada April 2018.