PELAKON Kamal Adli mengakui proses menyelamatkan perkahwinannya berada di fasa akhir. Aktor berusia 39 tahun itu yang ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pagi tadi pasrah dan menyerahkan jodohnya dengan dengan Uqasha Senrose kepada ALLAH.
"Hari ini bicara hakam pertama. Tak tahu. Saya tak berani cakap fasal hakam dulu. Saya, sebenarnya hari ini, susah sikit saya nak jawab. Sebab kita punya prosedur hari ini sebenarnya sudah di hujung-hujung.
"Tunggu sahaja, saya tak tahu apa nak cakap hari ini," kongsi Kamal.
Sementara itu, Uqasha yang tiba lebih awal ditemani peguam syarie, Muhammad Syazmee Sapian, memakai sepersalinan kelabu perak.
Pemilik nama Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu sempat meminta doa daripada semua.
"Doakan yang baik-baik ya" kongsinya tenang.
Menurut Peguam Syarie mewakili Uqasha, Muhammad Syazmee Sapian berkata prosiding hari ini melibatkan pelantikan hakam dalam kalangan ahli keluarga.
"Kini di tahap kedua iaitu hakam keluarga. So akan ada lantikan keluarga kemudian akan diteruskan dengan prosding timbang tara hakam atau bagaimana," kongsinya.
Imbas kembali 1 Oktober lalu, Uqasha memfailkan permohonan perceraian atas alasan tiada persefahaman dan masalah rumah tangga yang berlaku sejak April 2025.
Untuk rekod, pasangan itu diijab kabul pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.