PELAKON Kamal Adli dan Uqasha Senrose sah bercerai talak di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada jam 12.56 tengah hari, Isnin.
Difahamkan, lafaz cerai dilakukan Kamal di hadapan Hakim Mahkamah Syarie, Siti Noraini Mohd Ali.
Kamal yang ditemui media kelihatan sugul menyatakan tidak mahu melafazkan talak dan jika diberi ruang mahu rujuk semula.
"Saya tak nak, sumpah dengan nama ALLAH saya tak nak lafazkan pun. Tetapi saya cakap tadi saya lafazkan sebab harap boleh dapat ruang dan peluang untuk nak rujuk balik," kongsinya.
Pemilik nama Ahmad Kamal Ahmad Adli itu kelihatan sayu dan menitiskan air mata, ketika mengimbas momen melafazkan talak kepada Uqasha.
"Saya tak nak jawab.Saya tak boleh. Saya tak boleh nak cakap pun tadi. Saya tak mampu nak lafaz pun.
"Hari ini benda paling tak best dalam hidup saya. Saya tak kuat sebenarnya termasuk untuk bertemu dengan kamu semua.
"Saya tak nak pun (melafazkan talak), itu sahaja. Kalau kamu tanya saya, saya tak nak," tutur Kamal.
Menyentuh tentang permata hati mereka, Uqaira Hawra ayang kini berusia 21 bulan, Kamal berharap agar urusan untuk bertemu anaknya dipermudahkan.
“Saya harap selepas ini lebih mudah untuk saya berjumpa Hawra. Sebelum ini agak susah juga untuk saya bertemu dengannya. Terlalu lama saya tak jumpa Hawra sebenarnya.
"Dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini, saya hanya dapat berjumpa dengannya lima kali sahaja. Jadi saya sangat berharap selepas ini perkara itu dapat dipermudahkan.
"Bagi saya, yang penting dapat berjumpa dan meluangkan masa bersama anak. Kalau dia (Uqasha) nak ada sekali pun saya tak kisah,” tuturnya dalam sebak.
Pelakon Abang Long Fadil dan Gangster Celop itu juga berharap agar tiada pihak yang mengeluarkan kata-kata buruk terhadap bekas isterinya.
Menurut Kamal, ada perkara yang tidak mampu diluahkannya secara terbuka.
“Saya nak ucap terima kasih kepada pihak media dan semua yang hadir sejak dari awal. Tapi sekali lagi, saya mohon, tolong jangan tulis benda buruk-buruk tentang Uqasha. Jangan kecam dia.
"Cakap yang baik-baik saja. Saya sudah cuba yang terbaik. Saya sudah cuba mempertahankan. Saya tak nak apa-apa dan saya tak nak berpura-pura. Saya sudah cuba,” tuturnya dalam sayu.
Dalam pada itu, Kamal turut menzahirkan penghargaan buat Uqasha yang sudi menerimanya sebagai pasangan hidup meskipun perkahwinan mereka tidak bertahan lama.
“Saya nak ucap terima kasih kepada Uqasha kerana menerima saya sebagai suami sebelum ini. Dia ajar saya banyak perkara, termasuk bagaimana untuk menjadi seorang lelaki dan suami. Sejujurnya, saya memang tidak mempunyai pengalaman dalam berumah tangga.
"Saya minta maaf jika ada kekurangan pada diri saya sehingga berlakunya semua ini. Ini salah saya. Saya bukan suami yang baik. Kalau saya menjadi suami yang baik, perkara ini takkan terjadi. Dia meletakkan kesalahan itu pada saya dan saya terima.
"Saya sendiri tidak tahu bagaimana nak hadapi semua ini. Jadi, tolong doakan saya, anak dan keluarga saya serta keluarganya," tuturnya.
Kamal dalam masa yang sama turut memohon kemaafan daripada keluarga mentua dan berterima kasih kepada semua yang memberikannya sokongan selama ini.
"Saya minta maaf kepada keluarga Uqasha kerana tidak mampu menjadi suami yang dapat menjaganya dengan baik.
"Saya minta maaf sangat-sangat. Saya sebenarnya sudah cuba melakukan yang terbaik.
"Kepada keluarga saya, terima kasih kerana terus menyokong saya dan tidak pernah menghasut saya ke arah perkara-perkara yang tidak baik.
"Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang sentiasa hadir dan menyokong saya dari belakang. Mereka benar-benar orang yang ikhlas,” kongsi Kamal.
Ditanya sama ada boleh menjadi sahabat selepas berpisah, Kamal masih tidak dapat memberi jawapan.
Malah pelakon Takluk: Lahad Datu itu kecewa kerana tidak sempat bersalaman dengan bekas isteri sebelum melafazkan talak.
"Saya tak tahu kerana hendak bersalaman pun tidak dapat tadi. Saya tunggu di situ juga tadi, tapi tak apalah.
"Cuma harap jangan susahkan saya untuk berjumpa dengan Hawra selepas ini," kongsinya.
Sekadar info, hari ini merupakan prosiding hakam namun Kamal bersetuju melafazkan cerai kepada Uqasha.
Imbas kembali 1 Oktober lalu, Uqasha memfailkan permohonan perceraian atas alasan tiada persefahaman dan masalah rumah tangga yang berlaku sejak April 2025.
Untuk rekod, pasangan itu diijab kabul pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.