"BUAT masa ini tiada (ruang untuk rujuk)."
Demikian tutur pelakon Uqasha Senrose menzahirkan untuk terus melangkah ke hadapan dan enggan kembali rujuk kepada bekas suaminya, Kamal Adli selepas rumah tangga berusia empat tahun berakhir.
Pemilik nama Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 34, ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menzahirkan harapan untuk dapat meneruskan kehidupan dengan tenang.
Melalui fasa baharu dalam kehidupan, Uqasha mahu menumpukan perhatian pada masa depan.
Aktres popular itu berkata, keutamaannya kini adalah meneruskan kehidupan demi diri dan cahaya mata.
"Kita harus terus memandang dan melangkah ke hadapan. Kami pernah menjadi suami isteri dan talak telah jatuh.
"Untuk ulas lebih lanjut pun saya tidak tahu, namun apa yang menjadi tumpuan kini ialah fokus kepada masa hadapan.
"Pada tahun 2026 ini, sudah terjawab apa yang terjadi tadi, talak telah dilafazkan.
Ketika ditanya mengenai perasaannya saat talak dijatuhkan, Uqasha kelihatan sebak dan menyatakan bahawa dia telah bersedia menghadapi detik hari ini sejak permohonan cerai difailkan pada Oktober tahun lalu.
"Hal ini (perceraian) merupakan fasa yang baharu untuk dihadam. Saya memerlukan masa untuk mengulas mengenainya.
"Doakan saya dapat menghadapi masa depan," kongsinya.
Tiada masalah untuk menunaikan permintaan Kamal Adli bagi memudahkan urusan bertemu cahaya mata tunggal mereka, Hawra Uqaira dengan lebih kerap, pelakon Paku Pontianak itu turut menyatakan keterbukaan untuk kekal sebagai sahabat biarpun perkahwinan sudah berakhir.
"Insya-ALLAH.
"Untuk jumpa Hawra sebenarnya tidak pernah menjadi masalah. Saya sudah diberitahu agar tidak membuka aib di sini.
Bercakap mengenai tanggung jawab sebagai ibu tunggal, Uqasha berkata, ia tidak dirasai sebagai beban kerana sudah setahun melaluinya.
"Saya sudah setahun bekerja dan menjaga anak dalam masa yang sama.
"Insya-ALLAH doakan saya," kongsinya.
Terdahulu Kamal Adli melafazkan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada jam 12.56 tengah hari, Isnin.
Lafaz cerai dilakukan Kamal di hadapan Hakim Mahkamah Syarie, Siti Noraini Mohd Ali.
Sekadar info, Uqasha memfailkan permohonan perceraian pada Oktober tahun lalu atas alasan tiada persefahaman dan masalah rumah tangga yang berlaku sejak April 2025.
Untuk rekod, mereka diijab kabul pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.