PENYANYI Elyana meluahkan rasa kecewa apabila anak angkatnya, Cahaya Ramadhani, menjadi mangsa ejekan berbaur rasis di media sosial.
Pelantun lagu Tak Tercapai Akalmu menegaskan, dia membesarkan anaknya tanpa meminta belas kasihan dan mengecam sikap segelintir individu yang menghina si kecil tanpa memikirkan kesan jangka panjang.
Tekanan terhadap Cahaya sudah berlaku sejak kecil, dan sebagai ibu, Elyana kini tidak mampu berdiam diri lagi terhadap kecaman yang semakin melampau.
Menerusi perkongsian di Threads, pemilik nama penuh, Erneelya Elyana Emrizal memuat naik luahan hati.
“Ini kali terakhir saya nak cakap. Bab anak, saya tak main-main.
"Jadi, kenapa perlu biadab sangat?” tulisnya.
Kecaman sejak kecil
Elyana turut mempersoalkan sikap segelintir individu yang sanggup mengejek anak kecil tanpa memikirkan perasaan dan kesan jangka panjang.
“Kamu rasa hebat sangat jadi anak Melayu?” luahnya.
Menurut Elyana, tekanan dan kecaman terhadap anak angkatnya itu bukan perkara baharu, sebaliknya sudah berlaku sejak anaknya masih kecil.
“Kamu ingat anak angkat, anak k*ling tak ada hati dan perasaan?” katanya.
Elyana turut mengakui sudah lama memendam perasaan, namun tidak lagi mampu berdiam diri apabila isu tersebut semakin melampau.
“Saya banyak pendam selama ini, tapi makin menjadi-jadi perangai ‘setan-setan’ ini,” tulisnya lagi.
Untuk rekod Elyana mendirikan rumah tangga bersama Khairul Anuar Husin pada 2010 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Cinta Sumayah, 13 tahun.
Selain Cahaya, Elyana dan Khairul turut mengambil seorang lagi anak angkat istimewa yang diberi nama Tulus.