BILA memperkatakan soal anak, tiada keputusan yang dibuat secara sambil lewa.
Setiap pilihan hadir dengan pertimbangan hati, logik dan kasih sayang.
Itulah yang dikongsikan pelakon Adam Corrie apabila satu keputusan peribadi berkaitan pendidikan anaknya membuka mata ramai.
Perkongsian itu dibuat Adam Corrie menerusi media sosial miliknya apabila dia menjelaskan pilihan menghantar anak ke sekolah kebangsaan walaupun berbangsa Cina.
Jelas lelaki berusia 57 tahun itu lagi, Tokoh Maal Hijrah Peringkat Selangor 2017 itu memahami kebanyakan ibu bapa yang memilih sekolah Cina lazimnya telah membuat persediaan rapi serta benar-benar memahami kemampuan anak masing-masing sebelum membuat keputusan tersebut.
Namun bagi dirinya, selepas mencuba menghantar anak ke tadika Cina selama setahun, Adam merasakan anaknya masih belum bersedia dan kurang sesuai dengan sistem pembelajaran berkenaan.
“Selepas setahun mencuba, saya dapat menilai bahawa anak saya belum bersedia.
"Jadi saya tak mahu membebankan dia,” jelasnya.
Tambah anak jati Pulau Pinang itu, keputusannya dibuat bukan kerana memandang ringan kepentingan pembelajaran bahasa, sebaliknya berpaksikan kepercayaan bahawa setiap anak mempunyai masa dan keupayaan yang berbeza.
“Keputusan ini bukan kerana saya tidak kisah tentang pembelajaran bahasa, tetapi kerana saya percaya setiap anak ada kemampuan dan tempoh pembelajaran tersendiri.
"Buat masa ini, anak saya belum mampu, walaupun dia berbangsa Cina,” katanya jujur.
Pemilik nama Islam, Adam Corrie Lee Abdullah turut berkongsi latar belakang dirinya sebagai Cina Hokkien, yang mana Mandarin bukan bahasa ibundanya.
“Mandarin saya sekadar faham dan boleh bertutur sedikit-sedikit sahaja. Tapi kalau Hokkien, memang itu bahasa saya,” tulisnya bersahaja.
Menurut suami kepada Fazima Fuad itu lagi, setiap anak hadir dengan minat dan laluan pembelajaran masing-masing, dan peranan ibu bapa adalah menyokong serta membimbing, bukan memaksa demi memenuhi jangkaan atau persepsi masyarakat.
“Setiap anak ada minat dan jalan pembelajaran tersendiri. Sebagai ibu bapa, tugas kita adalah menyokong, bukan memaksa,” ujarnya.
Sebagai penutup, Adam Corrie turut menyertakan petikan Surah Al-Hujurat ayat 13 sebagai peringatan tentang kepelbagaian bangsa dan nilai kemanusiaan yang perlu diraikan.
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan… Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya.”
Perkongsian itu sekali gus mengajak masyarakat melihat isu pendidikan dan perbezaan bangsa dengan lebih terbuka, matang dan penuh rasa hormat.