KETIKA ramai anak muda mengejar nama besar dan kerjaya bergaji lumayan di kota, seorang anak jati Bidor memilih haluan berbeza.
Bukan kerana tiada peluang, tetapi kerana cinta, tanggungjawab dan tekad untuk tidak membiarkan peluh orang tuanya terhenti di tengah jalan.
Di tepi Jalan Panggung Wayang, di balik aroma apam balik panas yang menggoda selera, tersimpan kisah inspirasi tentang makna kejayaan sebenar.
Gerai apam balik itu mungkin tampak sederhana, sama seperti perniagaan kuih tradisional lain. Namun di sebalik asap kuali dan bunyi adunan dituangkan, berdiri seorang anak muda berusia 28 tahun, Muhammad Shah Rizal Azuardi, yang sanggup meninggalkan laluan kerjaya profesional demi meneruskan legasi keluarga.
Anak bongsu daripada lima beradik ini bukan calang-calang latar belakangnya.
Berbekalkan Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi dan Pertanian dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Rizal pernah memiliki pekerjaan selesa sebagai pembantu penyelidik di sebuah institut penyelidikan.
Namun, keadaan kesihatan ibu bapanya yang semakin uzur mengubah segalanya.
“Memang tak pernah terfikir nak jadikan apam balik sebagai kerjaya. Dulu ikut ayah dan ibu berniaga sekadar membantu.
"Tapi bila ayah makin uzur, ibu pula kerap sakit, saya sedar ini tanggungjawab saya sebagai anak,” katanya.
Keputusan besar itu dibuat pada 2020, ketika negara dilanda Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Rizal pulang ke kampung dan mula mengambil alih perniagaan keluarga yang telah diusahakan ayahnya sejak lebih 40 tahun lalu.
Bagi Rizal, kehidupan di kampung yang lebih damai, jauh daripada tekanan trafik dan kos sara hidup bandar, menjadikan pilihannya terasa lebih tepat.
Berniaga tepi jalan
Namun, perjalanan itu bukan tanpa ujian. Pernah suatu ketika, seorang kenalan menolak salamnya dengan alasan tangan kotor kerana berniaga di tepi jalan.
“Memang terasa. Tapi saya pujuk hati, saya cari rezeki halal dan tak menyusahkan sesiapa,” luahnya jujur.
Cabaran lain turut datang silih berganti. Pembantu yang diharapkan membantu akhirnya pergi ketika perniagaan amat memerlukan sokongan. Saat itu, dia hampir rebah.
Namun pengalaman pahit itulah yang menguatkan Rizal untuk berdikari dan menguruskan segalanya sendiri hingga ke hari ini.
Di sebalik dugaan, sokongan ibu bapa dan doa mereka menjadi sumber kekuatan utama, ditambah dorongan daripada bekas pensyarah yang sentiasa menyuntik semangat agar dia tidak mudah mengalah.
Malah, Rizal mengakui ibunya pernah meluahkan rasa bersalah melihat anak berpendidikan tinggi memilih berniaga di tepi jalan.
“Bagi saya, ini bukan pengorbanan sia-sia. Bidang keusahawanan sering disalah tafsir seolah-olah ‘downgrade’, sedangkan ia membuka ruang membina kejayaan mengikut acuan sendiri.
"Malah, pendapatannya juga boleh melebihi kerjaya saya sebelum ini,” katanya yakin.
Hari ini, Rizal menghasilkan pelbagai variasi apam balik termasuk apam balik asli, rangup dan kuih Sarawak, dengan tambahan perisa moden seperti pandan, keju, susu, coklat dan red velvet.
Setiap hari, sekitar 16 hingga 20 kilogram tepung gandum diadun bagi memenuhi permintaan pelanggan. Harga pula mesra poket, antara RM4 hingga RM7 sekeping, manakala apam balik rangup dijual pada harga RM1.
Tidak berhenti setakat itu, Rizal menyimpan impian besar.
Dia berhasrat mengembangkan perniagaan dengan membuka cawangan di pekan berhampiran serta menambah baik menu agar kekal relevan mengikut peredaran zaman.
“Walaupun usaha ini masih kecil, saya bangga dapat meneruskan apa yang ayah mulakan.
"Harapan saya, satu hari nanti orang mengenali Apam Balik Lagend Bidor bukan hanya kerana rasanya, tetapi juga cerita kasih dan pengorbanan di sebaliknya,” ungkapnya lagi.
Kisah Rizal membuktikan bahawa kejayaan bukan semata-mata tentang jawatan atau gelaran, tetapi keberanian memilih jalan yang memberi makna, buat diri sendiri dan keluarga.
Sumber: Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah (Bernama)