PELAKON Amyza Aznan mengambil keputusan untuk berhijrah dan mengenakan hijab sepenuhnya sejak Oktober tahun lalu.
Memetik Gempak, pelakon berusia 49 tahun itu meluahkan rasa syukur kerana penghijrahannya dipermudahkan dan disambut baik oleh orang sekeliling.
Dia yang dikenali melalui drama Mat Despatch itu mengakui perubahan hati dan hidayah ALLAH berlaku tanpa dirancang.
“Tiada dorongan daripada sesiapa. Bila saya sudah bertudung ini, barulah saya sedar bahawa apabila ALLAH berkehendak, segalanya boleh berlaku dalam sekelip mata.
“Saya sendiri melalui perkara itu. Semalam mungkin saya langsung tidak terfikir untuk memakai tudung, tetapi keesokan harinya ia berlaku sekelip mata.
"Ramai yang beranggapan keputusan saya berhijab mungkin disebabkan dugaan atau ujian yang pernah saya lalui sebelum ini, tetapi sebenarnya tidak.
“Apa yang mendorong saya berhijab ialah keinginan untuk merasakan diri saya ‘mahal’. Saya nampak anak-anak mahukan saya nampak ‘mahal’. Respons anak-anak dengan keputusan ini mereka sangat suka,” katanya kepada portal tersebut.
Tidak dapat menggambarkan perasaannya, Amyza menitiskan air mata merasakan kasih sayang ALLAH sangat nyata dalam hidupnya.
"Tak tahu nak describe bagaimana, ALLAH DIA sayang saya," tuturnya dalam sebak.
Tidak seperti kebanyakan pelakon yang kehilangan tawaran kerja susulan bertudung, Amyza mendedahkan pekerjaannya tidak terjejas.
Dari segi batas pergaulan, ibu kepada tiga cahaya mata itu menjelaskan dia memang sudah menjaganya sejak awal lagi dan bersyukur rakan sekerja memahami serta menghormati batasan.
"Setelah saya berhijab, Alhamdulillah. Job saya ada.
"Sebelum berhijab pun, saya tak pernah pegang tangan berlebihan atau sentuhan yang tak perlu.
"Sekarang bila sudah berhijab, Alhamdulillah semuanya lebih mudah. Kerjasama dengan rakan pelakon pun berjalan lancar, dan pelakon lelaki juga faham serta hormat batas," kongsinya.
Warganet rata-rata memberikan semangat buat Amyza untuk terus istiqamah.
"Semoga Amyza dan keluarga dalam rahmat dan reda ALLAH."
"Semoga terus istiqamah dan dipermudahkan segala Urusan Amyza, amiin."
"Nampak keikhlasan tu, semoga kita sama-sama terus istiqamah."