SORAKAN kecil penuh makna, senyuman tidak lekang di wajah dan suasana hangat bersama insan tersayang menjadi saksi detik manis dalam kehidupan pelawak serta usahawan terkenal, Shuib Sepahtu.
Kali ini, bukan pentas hiburan yang diraikan, sebaliknya khabar gembira tentang kehadiran ahli baharu dalam keluarga kecilnya bersama isteri tercinta, Watie Hanifiah.
Pasangan itu berkongsi berita bahawa mereka bakal menimang cahaya mata perempuan yang dijangka lahir sekitar April ini menerusi pembedahan secara Caesar (C-section).
Memetik OhBulan!, khabar gembira itu dikongsikan dalam satu majlis ‘gender reveal’ sederhana yang berlangsung di Gombak, Selangor, dihadiri ahli keluarga dan rakan rapat.
Menurut Shuib, meskipun masing-masing mempunyai impian berbeza tentang jantina anak, mereka tetap bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan.
“Watie memang nak anak perempuan, saya pula teringin anak lelaki.
"Apabila dah tahu perempuan, kami terima dengan hati terbuka dan sangat bersyukur,” katanya.
Lebih menyentuh hati, Shuib turut meluahkan niat untuk memandikan sendiri bayi perempuan mereka nanti, sama seperti yang pernah dilakukannya terhadap anak-anak sebelum ini.
“Niat saya, anak perempuan ini nanti saya akan mandikan sendiri, sama seperti anak-anak yang lain,” ujarnya dengan nada penuh kasih sayang.
Sementara itu, Watie yang kelihatan ceria sepanjang majlis memaklumkan dia tidak mengalami sebarang alahan sepanjang kehamilan setakat ini.
Majlis gender reveal
Namun, persiapan bayi masih belum dibuat kerana ingin mendahulukan majlis gender reveal sebagai simbolik permulaan fasa baharu dalam hidup mereka.
“Dekat rumah ada babycoat Ayash saja. Semalam kawan saya hadiahkan baju.
"Setakat ini memang belum ada persediaan sebab saya rancang selesaikan ‘gender reveal’ dulu.
"Lepas tujuh bulan baru buat persiapan. Ini semua kami belajar daripada pengalaman sebelum ini,” katanya jujur.
Bercakap mengenai nama bayi, Watie menyerahkan sepenuhnya pilihan kepada anak kedua Shuib, Talitha, sebagai tanda penghargaan dan kasih dalam keluarga mereka.
“Untuk nama, saya dan Talitha yang akan pilih.
"Disebabkan bayi ini perempuan, jadi saya ambil nama yang dia pilih,” jelas Watie.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa rakan selebriti seperti Fasha Sandha, Aidil Aziz, Sharifah Shahirah, Sharifah Zarina, Ijoy, Siti Saerah dan ramai lagi.
Untuk rekod, Watie dan Shuib mendirikan rumah tangga pada Jun 2023.
Sebelum ini, Watie pernah mengalami keguguran sekitar Mei tahun lalu, menjadikan kehamilan kali ini lebih bermakna buat pasangan tersebut.
Shuib terdahulu memiliki empat orang cahaya mata hasil perkahwinan bersama penyanyi Allahyarham Siti Sarah.