PELAKON dan penyanyi Diana Danielle mendedahkan anak sulungnya, Muhammad, mengalami kelumpuhan pada bahagian muka yang disyaki berpunca daripada Bell’s palsy.
Berkongsi perkembangan terkini, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson berkata, dia dan keluarga kini memberi sepenuh tumpuan untuk mengaktifkan semula fungsi saraf muka anaknya itu.
Menurutnya, Muhammad, 13, mengalami kesukaran menyebut beberapa huruf tertentu seperti M, B dan P, justeru memerlukan latihan berterusan bagi membantu pemulihan.
Jelas Diana, 35, Muhammad telah menjalani pemeriksaan oleh beberapa pakar perubatan dan akan menjalani pemeriksaan lanjut menggunakan Magnetic Resonance Imaging (MRI).
"Muhammad telah diperiksa oleh pakar neurologi, pakar ENT dan pasukan perubatan, masing-masing memberikan pandangan mereka.
"Kini, dia sedang mengambil steroid dan tidak lama lagi akan membuat temu janji untuk MRI," kongsinya.
Memaklumkan Muhammad terdahulu mengalami demam, tambah Diana, doktor mengesyaki keadaan itu berpunca daripada demam virus yang berkemungkinan berkait dengan Sindrom Guillain-Barré (GBS) atau Bell’s palsy.
"Lumpuh muka berlaku secara tiba-tiba pada suatu petang.
"Sekarang kami memberi tumpuan untuk mengaktifkan semula saraf mukanya.
"Dia dibenarkan keluar dari hospital semalam dan menunjukkan tanda-tanda peningkatan. Jadi doakan agar terus pulih," kongsi Diana.
Artikel penuh:
- Bell's Palsy: Tak perlu risau, muka sebelah lumpuh akan sembuh lepas 3 hingga 6 bulan
- Lelaki dedah stroke muka terdedah aircond lama, berikut fakta Bell’s Palsy
6 INFO BELL'S PALSY, BOLEH BERLAKU PADA KANAK-KANAK
1-Bell‘s palsy atau turut dikenali sebagai facial palsy sering dijumpai dan dianggap sebagai penyakit umum.
2- Bell‘s palsy adalah disebabkan oleh kerosakan atau keradangan pada saraf wajah, manakala strok disebabkan oleh masalah dengan bekalan darah ke otak.
3-Menurut Pakar Perubatan Neurologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Chee Yong Chuan, terdapat beberapa faktor kemungkinan yang dikaitkan dengan Bell‘s palsy iaitu Herpes simplex atau virus penyebab selesema, radang saraf wajah, penyakit yang menganggu sistem imun seperti sindrom Guillain-Barre, rheumatoid arthritis dan lupus (penyakit autoimun.
4-Secara umum, ia bermaksud, jika mana-mana individu yang tertekan, mengalami trauma fizikal dan kekurangan tidur secara tidak langsung berpotensi mendapat Bell‘s palsy.
5-Tidak hanya atas orang dewasa berumur dalam lingkungan 15 hingga 60 tahun, ia juga berlaku pada kanak-kanak!
6-Meneliti penulisan Royal Children‘s Hospital Melbourne, antara punca kepada permasalahan itu boleh jadi kerana jangkitan pada telinga, tulang tengkorak dekat telinga, kelenjar parotid dan virus Herpes termasuk trauma akibat hentakan pada kepala.