DARI ruang kelas yang sederhana hingga ke pentas akademik antarabangsa, Kumpulan Pendidikan As Sofa (SEG) terus meneguhkan misinya dalam membentuk generasi cemerlang berteraskan nilai Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Selepas lebih sedekad membina asas pendidikan dari tadika hingga kolej, kini mereka bersiap sedia untuk menapak lebih jauh, membina Kolej Islam As Sofa bertaraf universiti sendiri.
Sebagai langkah permulaan, SEG menganjurkan majlis makan malam amal bagi mengumpul dana awal, sambil meraikan graduan yang menamatkan pengajian Master dan PhD dalam tempoh lima tahun.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SEG, Dr Mohd Amirul Isma Md Yusof, idea memiliki kampus tetap ini sudah lama berlegar.
“Selama 14 tahun kami menyewa bangunan dan sudah tiba masanya untuk memiliki ruang sendiri yang lengkap dengan semua prasarana pendidikan.
"Setakat ini, reka bentuk serta pelan arkitek kampus berkenaan telah siap dan sasaran pembinaan adalah dalam tempoh dua tahun, bergantung kepada kutipan dana yang berjaya diperoleh.
“Dana yang dikumpul ini akan digunakan untuk kerja-kerja asas pembangunan. Setakat ini, kira-kira RM150,000 berjaya dikumpulkan dan jumlah tersebut akan menjadi permulaan kepada keseluruhan projek,” katanya.
Majlis itu juga menyorot pencapaian Sheikh Muhammad Fuad yang memperoleh PhD dari Universiti Mohammed V, Maghribi, baru-baru ini.
Keunikan As Sofa terletak pada pendekatannya yang seimbang: pendidikan arus perdana digabungkan dengan tarbiah dan turath.
Dengan hubungan eksklusif bersama institusi di Maghribi, lebih 170 pelajar telah dihantar mengikuti program selama 12 tahun.
Ketua Eksekutif Kolej Islam As Sofa, Dr Muhd Sufi Ibrahim al Hafiz mengakui, pembinaan kampus berkeluasan 35,000 kaki persegi itu mampu menampung sekurang-kurangnya 1,000 pelajar dan menempatkan program-program yang diakreditasi.
“Setakat ini, empat program sedang dijalankan dan dua daripadanya sudah mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia.
"Kami juga memastikan majoriti pensyarah mempunyai PhD untuk standard akademik yang tinggi,” jelasnya.
Bagi SEG, bangunan ini bukan sekadar struktur fizikal. Ia adalah simbol dedikasi, visi dan langkah mantap dalam memartabatkan pendidikan berintegriti, suatu perjalanan panjang yang penuh inspirasi bagi semua yang menyokong dan menyertai mereka.