Sangka demam biasa, hampir lumpuhkan wajah anak, Diana Danielle dedah detik cemas. ' Ganasnya virus ini'

Iklan

PELAKON Diana Danielle berkongsi keadaan kesihatan anaknya Muhammad, 13, semakin baik selepas melalui episod kesihatan yang mencemaskan akibat jangkitan virus.

Menurut Diana, Muhammad atau Moe kini menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan

Iklan
Iklan

"Kepada semua yang bimbang tentang Moe, saya cuma ingin kongsikan perkembangan terbarunya. Dia sudah boleh senyum! Cuma mata belum boleh tutup rapat lagi. Tak apa, ada kemajuan.

"Moe turun berat badan sepanjang tiga minggu demam. Sekarang dia sudah mula makan banyak. 

Iklan

Doakan ya, perlahan-lahan dan konsisten insya-ALLAH. Terima kasih atas semua doa kalian. Ia benar-benar memberi keajaiban!" kongsi Diana.

Pemilik nama Diana Danielle Danny Beeson itu juga memaklumkan, momen paling menyentuh perasaan ialah apabila Muhammad mampu menyebut dengan jelas huruf-huruf yang sebelum ini sukar dilafazkan iaitu M, B dan P.

Iklan

Hampir meragut senyuman Muhammad, pelakon Imaginur itu juga tidak menyangka demam virus juga berbahaya.

"Sekarang dia sudah boleh sebut dengan jelas semua huruf yang sebelum ini susah untuk disebut. Bibirnya sudah boleh bersentuh dan ekspresi wajah semakin jelas. Beza sangat dalam masa kurang seminggu. Alhamdulillah..

"Apa yang bermula sebagai batuk dan selesema jadi perkara lain. Jaga anak-anak anda ya, demam virus ni boleh jadi bahaya, kena lawan habis-habisan.

"Bukan bibir saja (terkesan), malah kening dan mata. Sekarang kami fokus pada senaman muka untuk kembalikan dia ke tahap seratus peratus," jelas Diana.

Apa yang dialami Muhammad pada awalnya kelihatan seperti batuk dan selsema biasa. Diana mengakui dia merawat anaknya seperti kebiasaan. Namun bezanya, Muhammad mempunyai komitmen sukan yang aktif. 

Jadual hariannya tidak benar-benar diperlahankan kerana dia masih kelihatan mampu meneruskan aktiviti sekolah dan sesi pemilihan sukan walaupun mengalami selesema ringan.

Diana menyangka keadaan itu akan pulih seperti kebiasaan dalam tempoh seminggu. Namun sebaliknya, demam Muhammad kerap datang dan pergi, disertai sakit badan, sakit kepala dan muntah. 

Keadaan itu semakin memburuk apabila Muhammad tiba-tiba tidak mampu menggerakkan wajahnya.

Dalam tempoh tiga minggu dari permulaan demam, Diana dan keluarga terpaksa melakukan tiga lawatan ke klinik dan tiga lawatan ke hospital. Pengalaman itu disifatkannya sebagai sesuatu yang sangat mengejutkan dan menakutkan, memandangkan mereka tidak pernah berdepan situasi sedemikian sebelum ini.

"Saya benar-benar terkejut dengan betapa ganasnya virus ini. Saya rasa ini disebabkan cara kami menanganinya pada awalnya. 

"Jika kami perlahankan jadual sibuk lebih awal dan paksa dia berehat, badannya mungkin boleh mengawal virus itu dengan lebih baik. Intervensi awal sangat penting.

"Terima kasih atas doa-doa kalian dan saya harap sekurang-kurangnya saya dapat sebarkan kesedaran ini kepada ibu bapa lain di luar sana. 

"Virus zaman sekarang bukan macam dulu ya. Peluk anak-anak anda untuk saya," titip Diana.

Terdahulu SinarPlus berkongsi mengalami kelumpuhan pada bahagian muka yang disyaki berpunca daripada Bell’s palsy.

Memaklumkan Muhammad terdahulu mengalami demam, tambah Diana, doktor mengesyaki keadaan itu berpunca daripada demam virus yang berkemungkinan berkait dengan Sindrom Guillain-Barré (GBS) atau Bell’s palsy.