ANAK perempuan penyanyi dan pelakon terkenal Erra Fazira iaitu Engku Aleesya sentiasa menjadi sorotan. Beauty with brain, Aleesya kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat A-level.
SinarPlus yang menemui Erra di Majlis Penjenamaan ACGAS 2026 di Roofino Skydining, Kuala Lumpur pada Khamis sempat bertanya perkembangan terbaharu Aleesya.
"Sekarang ini dia sedang menyambungkan pelajaran di peringkat A-Level di salah sebuah kolej di Kuala Lumpur.
"Insya-ALLAH, tahun depan baru boleh memilih sama ada mahu menyambung pelajaran ke luar atau di Malaysia," kongsi Erra.
Ujar Erra, puteri kesayangannya itu bercita-cita untuk menjadi pakar psikiatri, dengan A-Level sebagai langkah awal.
"Aleesya memilih bidang ini kerana dia minat. Bidang ini kan jarang untuk orang muda dalami.
"Dia minat membaca dan saya rasa kenapa dia minat sebab dia seorang yang pemerhati. Aleesya seorang yang pendiam dan dia suka membaca. Memang dari dahulu dia akan diam dan observe karakter orang.
"Jadi saya kadang-kadang mungkin tak perasan. Apabila ditanya what do you want, dia ada banyak pandangan. Jadi apabila dia memilih bidang ini ni, saya rasa macam sesuai dengan minatnya.
"Apabila ada sesuatu yang dia minat tu saya rasa kita kena beri galakan sebab dia tahu apa yang dia suka.
"Apabila suka, susah pun rasa tak susah," tutur Erra.
Dalam pada itu, pelakon berusia 52 tahun itu juga mengakui gembira melihat perubahan karakter Aleesya.
Daripada seorang pendiam, Aleesya muncul sebagai penulis buku kanak-kanak berjudul Little Nina and the Virtues of Fatimah Azahra.
Malah puteri tunggalnya kini sudah mampu berucap secara terbuka di hadapan khalayak dan mengendalikan audiens.
Imbas kembali tahun lalu, Aleesya meraih gred A+ dalam subjek First English Language, Matematik, Fizik dan A bagi subjek Biologi, Sosiologi, Bahasa Malaysia dan Psikologi dan terpilih sebagai achiever dan cemerlang dalam International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).
Sekadar info, Aleesya adalah hasil daripada perkahwinan keduanya dengan Engku Emran.