Kejutan SUV elektrik mewah buat Aliff Syukri, hadiah istimewa Shahida lengkap nombor plat ALF 1

Iklan

BUKAN sekadar nilai sebuah kenderaan mewah, sebaliknya hadiah yang hadir bersama penghargaan dan tanda kasih seorang isteri terhadap suami. Itulah kejutan istimewa yang disediakan Datin Seri Nurshahida buat pasangan hidupnya, Datuk Seri Aliff Syukri, apabila menghadiahkan sebuah SUV elektrik mewah, BYD Sealion 7 lengkap dengan nombor pendaftaran eksklusif ALF 1 yang dilaporkan bernilai mencecah RM1 juta.

Kejutan berkenaan bukan sahaja membuatkan usahawan sensasi itu terharu, malah mencuri perhatian ramai apabila pasangan tersebut membawa kenderaan istimewa berkenaan mengelilingi kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Majlis penyerahan hadiah berlangsung dalam suasana meriah di bilik pameran BYD @ TREC Showroom, Kuala Lumpur dengan kehadiran ahli keluarga terdekat serta pasukan pengurusan mereka.

Menurut Nurshahida, pemberian tersebut merupakan tanda penghargaan buat suaminya yang selama ini tidak pernah berhenti bekerja keras demi keluarga.

Iklan

"Kejutan ini adalah tanda penghargaan mendalam saya buat suami yang sentiasa bekerja keras dan berkorban demi keluarga.

Iklan

"Memilih lokasi di pusat bandar serta merakamkan memori bersama di Bukit Bintang menjadikan detik ini lebih istimewa dan bermakna buat kami berdua," katanya.

Selepas acara penyerahan, pasangan berkenaan meneruskan sambutan dengan membawa SUV elektrik itu menyusuri sekitar Bukit Bintang.

Kemunculan kenderaan mewah berkenaan, lebih-lebih lagi dengan

nombor pendaftaran tunggal ALF 1, nyata mengundang perhatian orang ramai yang berada di kawasan tumpuan warga kota tersebut.

Bagi Aliff pula, hadiah berkenaan menjadi satu kejutan yang cukup bermakna. Beliau meluahkan rasa terharu dan gembira selain menghargai keikhlasan isteri yang sanggup menyediakan pemberian istimewa itu.

Malah, peluang meraikan detik berkenaan bersama keluarga, peminat dan orang ramai di tengah-tengah kesibukan ibu kota menjadikan pengalaman tersebut lebih sukar dilupakan.

SUV elektrik dengan sentuhan eksklusif

Pemilihan BYD Sealion 7 juga cukup menarik perhatian kerana model berkenaan merupakan sebuah SUV elektrik berkonsepkan coupe yang menggabungkan penampilan sporty dengan teknologi kenderaan elektrik moden.

Gabungan reka bentuk premium, teknologi serta prestasi menjadikan model itu antara pilihan dalam segmen SUV elektrik.

Namun, tarikan utama hadiah berkenaan pastinya nombor pendaftaran ALF 1 yang membawa identiti tersendiri kepada pemiliknya.

Kejutan tersebut turut dikongsikan menerusi platform media sosial rasmi pasangan berkenaan. Video penyerahan hadiah dan perjalanan mereka di sekitar Bukit Bintang menerima pelbagai reaksi warga maya yang rata-ratanya teruja melihat pemberian istimewa Nurshahida.

Di sebalik kemewahan sebuah kenderaan, kejutan itu memperlihatkan satu sisi lain kehidupan pasangan usahawan berkenaan, iaitu cara mereka meraikan kejayaan, menghargai pengorbanan dan mencipta kenangan bersama.