TIADA siapa menyangka demam dan batuk berpanjangan yang dialami pelakon Along Eyzendy rupa-rupanya menjadi petanda kepada krisis kesihatan yang jauh lebih serius, sehingga terpaksa ditidurkan di ICU.
Pelakon itu dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ahmad Shah (HSAS), Serdang.
Memetik Berita Harian Online, isterinya, Hamidah Mohd Yatim memaklumkan, Along atau nama sebenarnya Mohd Eyzendy Mohd Aziz, 47, telah dimasukkan ke wad sejak Jumaat minggu lalu selepas mengalami demam serta batuk berpanjangan sebelum doktor mengesyaki berlaku jangkitan pada stent di saluran hempedunya.
“Disebabkan jangkitan itu, tekanan darah, tahap hemoglobin dan bacaan platlet Along turun naik. Ada hari yang keadaannya baik, ada hari yang semua bacaannya menurun,” kongsinya.
Situasi menjadi lebih mencemaskan apabila Along tiba-tiba tidak memberi sebarang tindak balas ketika prosedur memasukkan platlet sedang dijalankan.
“Tadi, semasa doktor sedang memasukkan platlet, tiba-tiba Along tidak sedarkan diri. Apabila dipanggil dan diminta membuka mata, dia tidak memberi sebarang tindak balas,” katanya lagi.
Hasil pemeriksaan lanjut menerusi imbasan ultrabunyi kemudian mendapati terdapat bengkak serta takungan nanah pada pundi hempedu pelakon berkenaan.
Mengeluarkan nanah dan darah kotor
Menurut Hamidah, prosedur menebuk pundi hempedu telah dilakukan bagi mengeluarkan nanah serta darah kotor, selain doktor merancang memberikan antibiotik untuk merawat jangkitan tersebut.
“Semalam, doktor sudah menebuk pundi hempedu untuk mengeluarkan nanah dan memang ada darah kotor yang keluar.
“Bagaimanapun, doktor terpaksa menidurkannya buat masa ini untuk memberi ruang kepada badan Along berehat kerana dia berada dalam kesakitan yang amat sangat sehingga tidak dapat menerima prosedur skop,” jelasnya.
Tempoh Along ditidurkan, ujar Hamidah, bergantung sepenuhnya kepada kekuatan fizikal suaminya serta keadaan organ dalaman lain.
“Jika dia kuat dan tiada kerosakan pada organ lain, Insya-ALLAH dia akan sedar dengan cepat. Kami berharap pendarahannya tidak serius malam ini supaya doktor boleh melakukan prosedur skop esok,” katanya penuh harapan.
Buat masa ini, semua ahli keluarga termasuk anak-anak serta keluarga dari Machang, Kelantan sudah berada di hospital bagi memberi sokongan dan mendoakan agar Along kembali sedar serta pulih seperti sediakala.