PELARI wanita, Mukminah Paiman mencuri perhatian warganet selepas kejayaannya menjuarai acara larian ultra marathon sejauh 100 kilometer kategori wanita, sekali gus menerima pujian meluas daripada rakyat Malaysia.
Menerusi perkongsian video tular di Threads, Mukminah yang disapa Ina berjaya menamatkan larian dalam masa 12 jam 4 minit 16 saat melintasi garisan penamat dengan berpakaian longgar dan menutup aurat sepenuhnya termasuk hijab dan niqab.
Tidak hanya muncul juara kategori wanita, Ina juga merangkul naib juara keseluruhan!
Penampilannya yang sederhana namun penuh keyakinan membuatkan ramai terinspirasi, malah ada yang menggelarnya sebagai 'real ninja'.
Lebih mengagumkan, biarpun berdepan cabaran fizikal dan mental sepanjang perlumbaan jarak jauh itu, Ina kelihatan bertenaga dan ceria sebaik menamatkan larian.
"Alhamdulillah, ALLAH yang bagi kekuatan kepada saya. Terima kasih ya!" titipnya pada ruangan komen.
Menerusi temu ramah HotFM, Ina mendedahkan, tidak sukar untuk menyesuaikan diri melakukan sukan ketahanan berkenaan kerana dia terdahulu menceburinya ketika sudah berniqab.
"Sebab mungkin saya dah biasa kot. Mula-mula itu memang struggle tetapi sebab saya ketika mula berlari, saya dah berniqab.
"Jadi, saya dah memang dilatih untuk itu. Cuma masalah saya kalau hujan lebat dan kena pace yang agak laju. Itu masalah sikit lah.
"Kalau hujan lebat, ia (niqab) akan melekat dan susah nak nafas. Kalau laju mencungaplah," kongsinya.
Rata-rata warganet bangga dan menyifatkan pencapaian tersebut sebagai simbol kekuatan wanita selain bukti disiplin, azam dan kepercayaan diri.
"Salah satu cara dakwah yang terbaik iaitu dengan menunjukkan menutup aurat pun boleh bersukan. Malah muncul sebagai juara lagi."
"Tahniah padu! Pakaian A, pahala dansihat pun dapat. Sentiasa dalam rahmat ALLAH."
"Terima kasih kerana membuktikan pakai legging dan skirt tidak semestinya membantu stamina.
Kejayaan Ina itu membuktikan pemakaian sopan bukan penghalang untuk mencapai prestasi cemerlang dalam bidang sukan.
Moga ia mencetuskan inspirasi kepada peminat sukan dan menjadi peringatan bahawa kejayaan boleh dicapai tanpa perlu mengorbankan prinsip dan jati diri.