DUNIA hiburan tanah air dikejutkan dengan khabar duka menimpa pelakon Along Eyzendy yang dilaporkan kritikal susulan pendarahan dalam perut.
Memetik Berita Harian, status kesihatan pelakon berusia 47 tahun itu bergantung kepada hasil prosedur memasukkan kamera (skop) yang dilakukan doktor.
Isteri Along, Hamidah Mohd Yatim memaklumkan prosedur berkenaan adalah bagi mengenal pasti punca pendarahan sebelum tindakan lanjut diambil oleh pasukan perubatan.
"Buat masa sekarang, doktor memaklumkan Along berada dalam fasa kritikal.
"Pagi tadi Along sudah jalani prosedur skop untuk kesan punca pendarahan. Kami sedang tunggu perkembangan lanjut.
"Sekiranya prosedur ini tidak berjaya, doktor maklumkan akan teruskan dengan pembedahan," katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, melaporkan Along atau nama sebenarnya Mohd Eyzendy Mohd Aziz mengalami demam dan batuk berpanjangan.
Dia yang mengesyaki berlaku jangkitan pada stent pada saluran hempedu dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ahmad Shah (HSAS), Serdang.
Along yang merupakan bapa kepada tiga cahaya mata dikenali menerusi filem Budak Kelantan, Khurafat: Perjanjian Syaitan, Karak dan Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang.
Selain berlakon, Along juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah untuk Teater Tradisional Makyong di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Sumber: Berita Harian