PELAKON Along Eyzendy menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 12.16 tengah malam di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ahmad Shah (HSAS), Serdang.
Memetik Berita Harian Online, khabar duka itu disahkan oleh isterinya yang memaklumkan Allahyarham meninggal dunia di sisi ahli keluarga.
Along atau nama sebenarnya Mohd Eyzendy Mohd Aziz, 47, terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Terapi (ICU) akibat pendarahan serius dalam perut pada Khamis lalu.
Sementara itu, pelakon Zalif Sidek memberitahu, jenazah Allahyarham telah dimandikan dan disolatkan di Unit Forensik HSAS.
"Jenazah Along akan dibawa terus ke Pasir Gudang dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai Pasir Gudang, Johor," kongsinya di Instagram.
Dia terdahulu dimasukkan ke hospital pada 30 Januari selepas mengalami demam dan batuk berpanjangan sebelum disyaki mengalami jangkitan pada stent di saluran hempedu.
Sekadar info, Along mula menceburi dunia seni pada tahun 2003 dan dikenali menerusi filem-filem seperti Budak Kelantan, Khurafat: Perjanjian Syaitan, Karak dan Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang.
Selain itu, Allahyarham turut aktif dalam beberapa drama seperti Bini-Bini Perkasa, Keranamu Laila, Sanggul Beracun, Keranamu Laila dan banyak lagi.
Pemergian Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Hamidah Mohd Yatim, dua anak lelaki dan seorang cahaya mata perempuan.