PEMERGIAN pelakon Along Eyzendy baru-baru ini meruntun hati ramai. Semasa hayat, Allahyarham pernah berkongsi kisah peribadi yang menyentuh perasaan apabila disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik tahap akhir iaitu satu berita yang diterimanya secara tidak disangka-sangka hanya selepas melakukan pemeriksaan kesihatan sempena ulang tahun kelahirannya.
Menurut Along, kali terakhir dia menjalani pemeriksaan kesihatan adalah kira-kira 20 tahun lalu. Atas dorongan untuk lebih prihatin terhadap kesihatan, diamengambil keputusan melakukan medical check-up sempena hari lahir ke-40 pada tahun 2019, tanpa menyangka keputusan yang diterima mengubah seluruh perjalanan hidupnya.
"Doktor beritahu buah pinggang saya berada di tahap akhir," kongsinya.
Along kemudian dijelaskan mengenai tahap kerosakan buah pinggang yang bermula daripada tahap satu hingga lima. Pada peringkat awal, penyakit tersebut masih boleh dikawal melalui pemakanan, ubat-ubatan dan suplemen. Namun apabila memasuki tahap tiga ke empat, pilihan rawatan menjadi semakin terhad.
"Sudah tiada ubat, maksudnya kita kena bertahan dengan cara menjaga makan. Sebelum sampai ke tahap lima sampailah ke hemodialisis.
"Saya dapat tahu saya ketika itu di tahap empat dan beberapa bulan lagi masuk tahap lima. Doktor juga beritahu saya untuk persiapkan diri untuk menjalani dialisis," kongsinya.
Ketika ditanya mengenai punca penyakit, doktor menjelaskan beberapa faktor utama antaranya kencing manis, darah tinggi dan faktor genetik. Walaupun Along menafikan penyakit itu diwarisi secara langsung, Pelakon Anak Kelantan dan Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang itu mengakui mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kencing manis, selain gaya hidup sendiri yang mungkin menyumbang kepada kerosakan buah pinggang.
"Ya ada genetik line dan tambahan pula saya ada habit apabila sakit sahaja ambil pain killer.
"Dahulu semasa tengah job back to back, saya tak boleh sakit. Kalau sakit saya runsing dan tidak boleh buat kerja. Saya ambil pain killer, lepas tu rasa segar.
"Saya selalunya sakit gigi," kongsinya.
Keadaan buah pinggang Along ketika itu semakin merosot apabila kedua-duanya disahkan rosak seperti ‘bateri kong’. Fungsi buah pinggangnya ketika dikesan hanya sekitar 17 peratus untuk kedua-dua belah dan boleh menurun sehingga sekitar lapan peratus jika satu daripadanya gagal berfungsi.
Beberapa bulan selepas diagnosis, Along memulakan rawatan dialisis. Dia menjelaskan terdapat dua jenis rawatan iaitu dialisis darah dan dialisis air. Setiap kaedah memerlukan komitmen tinggi dengan rawatan dilakukan beberapa kali sehari atau beberapa kali seminggu manakala setiap sesi mengambil masa sehingga empat jam.
"Saya ambil pendekatan cuci darah.
Kisah Allahyarham membuka mata ramai bahawa penyakit buah pinggang sering menyerang secara senyap dan hanya disedari apabila sudah berada di tahap kritikal.
Along atau nama sebenarnya Mohd Eyzendy Mohd Aziz, 47 terdahulu terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Terapi (ICU) akibat pendarahan serius dalam perut sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 12.06 Ahad lalu.
Sebelum itu, arwah dimasukkan ke hospital pada 30 Januari selepas mengalami demam dan batuk berpanjangan sebelum disyaki mengalami jangkitan pada stent di saluran hempedu.