APABILA anak lelaki bakal melangkah ke alam perkahwinan, peranan seorang ibu sering menjadi tumpuan. Ada yang menganggapnya cerewet, ada juga yang memilih untuk bersikap santai.
Bagi Rozita Che Wan atau mesra disapa Che Ta, semuanya bergantung pada prinsip dan persefahaman.
“Anak saya bukan artis, tapi bila bab kahwin, mak memang all out.” jelas Che Ta dengan senyum.
Kata-kata ringkas itu menggambarkan pendekatan seorang ibu yang mahu anaknya, Ammar Effendy, memulakan hidup baharu dengan penuh kegembiraan, tanpa tekanan atau bebanan.
Menurut Che Ta, persiapan kahwin Ammar dibuat dengan teliti, tetapi tetap menekankan prinsip ikut keselesaan anak dan bakal menantu perempuan. Semua keputusan, daripada hantaran sehinggalah busana perkahwinan, dibincangkan secara bersama.
“Sekali hantaran, sebelah lelaki, sebelah perempuan. Kadang-kadang saya bagi je dua-dua belah, tak ada masalah. Yang penting, semua setuju.” ujar pelakon drama Bahagia Yang Tertangguh.
Diminta berkongsi karakter menantu sulungnya, Che Ta memberitahu bakal suri hati anaknya itu digambarkan sebagai seorang yang pendiam dan mudah diurus.
Pilihan busana perkahwinan mereka juga selaras dengan konsep tradisional, lace dan songket.
"Dia kata nak tradisional. Jadi kita bawa pergi tengok mana yang cantik. Dia okey je, pendiam dan tak banyak kerenah,” kongsi Che Ta.
Soal lepas kahwin, anak dan menantu memilih untuk tinggal sendiri, satu keputusan yang disokong penuh oleh Che Ta dan suaminya, Zain Saidin.
Namun, hubungan keluarga tetap dijaga, terutama bab makan.
“Tak payah berebut. Anak dah hampir 30 tahun duduk dengan kita.
"Lepas kahwin, biarlah berdikari. Tapi kalau nak balik rumah makan, boleh. Mak lebih tahu selera anak, jadi semuanya mudah,” ujarnya sambil tersenyum.
Begitu juga dengan isu siapa patut masak. Che Ta menegaskan, fleksibiliti adalah kunci.
“Kalau dia nak mak masak, mak masak. Kalau nak bini masak, lagi senang. Tak payah berebut,” jelasnya. Pendekatan ini bukan sahaja mengelakkan konflik, malah memberi ruang kepada pasangan menyesuaikan diri dengan kehidupan baru mereka.
Aaisyah lebih diva
Dalam masa yang sama, Che Ta turut menceritakan perkembangan anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana Saidin, yang kini mula berlakon.
Walaupun anaknya seronok berada di set penggambaran, prinsip tentang pendidikan tetap tidak berganjak.
“Dia okey je dekat set. Diorang layan dia macam star. Dia lagi diva daripada saya tau.
"Hari biasa memang tak boleh ganggu sekolah. Kalau hujung minggu atau cuti, okey,” jelas Che Ta.
Keseluruhan perkongsian Che Ta menonjolkan seorang ibu yang memahami, menyokong tetapi berprinsip.
Dari persiapan kahwin hingga ke kehidupan selepas nikah, pendekatan beliau jelas: terlibat tanpa mengongkong, membimbing tanpa mendominasi.
Dengan sokongan suami, Zain Saidin, dan kasih sayang terhadap anak-anak, keluarga mereka menjadi contoh keharmonian.
Di sebalik semua glamor dan perhatian, Che Ta menegaskan satu prinsip mudah: yang penting, semua pihak selesa dan bahagia.
Dengan itu, perkahwinan Ammar bukan sekadar majlis, tetapi juga permulaan hidup baru yang harmoni bagi keluarga mereka.