MENTUA dari syurga, kata Puteri Sarah Liyana tentang Datuk Yusuf Haslam.
Dalam kehidupan ini, tak semua hubungan keluarga berakhir dengan jarak atau salah faham. Kadang-kadang, ada juga yang meninggalkan kesan manis sehingga terasa seperti satu ikatan yang dibina dari syurga.
Itu yang dirasakan oleh Puteri Sarah Liyana terhadap bekas mentuanya, Datuk Yusuf Haslam.
Perhubungan mereka bukan sekadar formaliti menantu-mentua. Dari awal lagi, Puteri Sarah dan keluarga Yusuf Haslam menjalin ikatan erat, saling menyokong terutama ketika menghadapi cemuhan netizen.
Bertemu jodoh
Hubungan tersebut, jelas Sarah, lebih dari sekadar adat, ia penuh dengan nasihat, kasih sayang dan keprihatinan tulus yang kadang membuat hati sebak.
Untuk rekod, Puteri Sarah, pelakon drama yang cukup dikenali dalam industri tempatan, pernah berkahwin dengan Syamsul Yusuf.
Hasil perkongsian hidup mereka, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata yang menjadi penyeri keluarga.
Walaupun perkahwinan itu akhirnya berakhir pada 14 Jun 2023, ikatan kasih dan tanggungjawab sebagai ibu bapa tetap dijaga dengan penuh matang dan hormat antara satu sama lain.
Menerusi satu hantaran video oleh jenama Primavalet memperlihatkan Yusuf Haslam menitipkan doa dan ucapan buat Puteri Sarah.
“Mudah-mudahan kamu bertemu jodoh. Jangan biarkan masa berlalu sebab kehidupan ini singkat sebenarnya.
"Kita kahwin, dapat anak, besarkan anak-anak, tahu-tahu dah berusia.
"Macam papa, tahu-tahu dah 72. Kamu pun dah meningkat 40, kan?” nasihat Yusuf dengan penuh keikhlasan.
Pada masa sama, Yusuf turut menyatakan setiap rumah tangga memerlukan kesabaran dan toleransi.
"Jadi, apa sekalipun, teruskan perjuangan. Dapat jodoh yang sesuai, kita serahkan soal rumah tangga pada takdir.
"Tapi, banyakkan bertolak ansur dalam kehidupan.
"Suami juga mesti bersikap profesional, tak boleh ego, mesti ada give and take.
"Sebab tiada orang sempurna di dunia ini, masing-masing ada kekurangan. Papa doakan yang terbaik,” tambahnya lagi.
Nasihat itu bukan sahaja sekadar kata-kata manis, malah mengingatkan kita bahawa hubungan yang sihat dalam keluarga memerlukan komunikasi, pengertian, dan keikhlasan hati.
Hubungan Puteri Sarah dengan pengarah terkenal itu menjadi bukti bahawa kasih sayang seorang mentua boleh memberi inspirasi dan kekuatan, bahkan selepas berakhirnya ikatan rasmi perkahwinan.
Dalam dunia yang kadang memandang remeh peranan mertua, kisah ini membuka mata kita bahawa kadang-kadang, mentua dari syurga' benar-benar wujud, mereka yang hadir bukan untuk mengawal, tetapi untuk memberi panduan, doa, dan sokongan tanpa syarat.