PELAKON Mia Nasir baru-baru ini mencuri perhatian penonton apabila berjaya menghidupkan watak penuh konflik dalam drama Pak Su Ammara yang baharu tamat tayangan.
Meski diberi peranan sebagai penyondol, lakonan Mia mendapat pujian ramai kerana berjaya membawa dimensi berbeza, termasuk plot twist yang tidak disangka-sangka, sekali gus membuatkan watak tersebut lebih hidup dan realistik.
Menariknya, Mia tidak melihat watak itu sebagai sesuatu yang perlu dielakkan.
Sebaliknya, pelakon ini mengakui dia tertarik untuk membawakan karakter tersebut kerana mahu menyampaikan mesej yang lebih mendalam kepada penonton.
"Watak penyondol yang dibawakan itu bukan sekadar untuk mencetuskan emosi atau kontroversi, tetapi sebagai cerminan realiti yang wujud dalam masyarakat.
"Saya jadikan (watak) dan drama sebagai medium terbaik untuk menunjukkan kesan dan sisi sebenar perbuatan itu, terutama terhadap individu yang menjadi mangsa dan tunjukkan pada penyondol rupa sebenar mereka," ujarnya tegas.
Dalam dalam pada itu mengakuib pengalaman melihat rakan sendiri berdepan situasi sebagai mangsa penyondol memberi kesan besar terhadap cara dia menghayati watak tersebut.
Situasi itu membuatkan dia lebih memahami emosi, luka dan tekanan yang dialami oleh pihak yang terkesan, sekali gus membantu lakonannya menjadi lebih jujur dan berlapik.
Namun, siapa tahu, ada ada segelintir penonton yang turut mengaitkan watak drama dengan peribadi pelakon tersebut.
Namun, kakak kepada pelakon Anzalna menganggap perkara itu sebagai pujian terhadap keberkesanan lakonannya.
"Komen-komen seperti itu saya terima kerana tahu itu hanyalah watak dalam lakonan, bukan diri yang sebenar. Jadi, apa sahaja orang nak cakap, ia tak mengganggu," ungkapnya tegas.
Bagi pemilik nama sebenar, Nur Farah Md Nasir, selagi dia tahu siapa dirinya yang sebenar dan orang sekeliling memahami keperibadiannya, tanggapan luar tidak memberi tekanan besar.
Di sebalik kejayaan lakonan, Mia turut dikenali sebagai individu yang tenang dalam mengurus kehidupan peribadi, termasuk soal jodoh.
Menyentuh soal jodoh, Mia percaya ia tidak boleh dipaksa. Dia juga bersyukur kerana ahli keluarganya tidak pernah memberi tekanan atau mendesak untuk segera berkahwin.
Bagi Mia, ketenangan dan restu keluarga jauh lebih penting berbanding memenuhi jangkaan masyarakat.
"Asalkan bila berdepan dengan saya, di hadapan saya dan orang lain, saya okay dan baik-baik sahaja.
"Yang paling penting bagi saya ialah ahli keluarga sendiri. Selagi mereka tak menekan dan tak memaksa, itu sudah memadai," ungkap wanita berusia 34 tahun itu lagi.
Kongsinya lagi, dia tidak mahu memaksa seorang lelaki dan akhirnya perkara itu memakan diri sendiri.
"Apa pun yang berlaku, saya tak mahukan perkara begitu. Saya mahukan perkahwinan yang tenang, hubungan yang aman. ALLAH Maha Mengetahui, dan inilah cara saya melihat perkara ini.
"Kalau memang sudah ada dan Allah mengizinkan, insya-Allah semuanya akan dipermudahkan,"tutur Mia yang mengakui dirinya kini sudah dimiliki namun dan menyerahkan semuanya kepada Yang Maha Esa.
Dalam pada itu, keluarga Mia juga sering menjadi bualan netizen kerana latar keluarga yang cantik dan berpendidikan.
Bila hal tersebut diajukan pada empunya diri, Mia memilih untuk melihat semua pujian itu sebagai satu rezeki, bukan sesuatu untuk dibanggakan..
"Alhamdulillah, saya sangat-sangat bersyukur. Tapi kami kekal merendah diri. Kadang-kadang kami sendiri tak tahu bagaimana nak menjawab perkara-perkara seperti itu.
"Jadi, sekurang-kurangnya kami bersyukur sahajalah. Cukup sekadar merujuk pada diri sendiri kemudian hari. Kalau orang nampak, Alhamdulillah, kerana itu memang niat kami.
"Jadi, saya memang rasa tiada yang boleh saya katakan selain bersyukur sahaja," ujar Mia sambil tersenyum.