'Saya kini sah bercerai' — Rumah tangga 13 tahun berakhir, Sharifah Aleya pilih kongsi selepas tamat idah

Iklan

PELAKON dan penyampai radio, Sharifah Aleya, mengejutkan para peminat apabila berkongsi khabar duka tentang perpisahan rumah tangganya.

Aleya mengesahkan dirinya kini sah bercerai dengan suami, Mohammed Azam Abdullah, menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Iklan
Iklan

Pemilik nama sebenar Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al-Yahya, berkongsi, video tersebut sebenarnya menghimpunkan rakaman momen hidupnya sejak November 2025, sebelum mengambil keputusan untuk berkongsi status terkini kepada umum.

Iklan

“Assalamualaikum, video reel ini merupakan kompilasi kenangan yang dirakam dan dikongsi sejak November 2025. 

"Saya berkongsi pada hari ini kerana hari ini menandakan berakhirnya tempoh idah. Saya kini sah bercerai. Alhamdulillah," ungkap wanita berusia 44 tahun itu.

Iklan

Walau diuji dengan episod perpisahan, anak sulung daripada empat beradik itu memaklumkan dirinya dan anak-anak berada dalam keadaan baik serta saling menguatkan antara satu sama lain.

“Kami dalam keadaan baik dan saling menyokong antara satu sama lain mengharungi fasa ini.

"Alhamdulillah, kami mempunyai sistem sokongan yang sangat luar biasa," kongsinya.

Dalam nada penuh tertib, Aleya menjelaskan bahawa perkongsian tersebut dibuat bagi mengelakkan sebarang salah faham atau fitnah, selain memohon doa daripada orang ramai.

“Perkongsian ini dibuat untuk elak fitnah dan untuk maklumkan kepada semua kami dalam keadaan baik, insya-ALLAH.

"Jika tidak keberatan, selitkanlah nama saya dan anak-anak dalam doa kalian. Semoga ALLAH memudahkan segala urusan dan mengampuni kami," kongsinya lagi.

Untuk rekod, Aleya dan Mohammed Azam Abdullah atau lebih dikenali sebagai Miko mendirikan rumah tangga pada Januari 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata, Ali Abdullah, 11, dan Ahyan Abdullah, 9.

Sebelum itu, Aleya pernah berkahwin dengan Muhd Ashraf Aasimuddin pada Disember 2007 namun berpisah pada Februari 2012. Hasil perkahwinan pertama, mereka dikurniakan anak kembar, Aza Ameena dan Asha Ameena, kini berusia 17 tahun.

Walau badai melanda, Aleya memilih untuk melangkah dengan tenang ditemani doa, sokongan keluarga dan kekuatan seorang ibu yang terus berdiri demi anak-anak tercinta.