Tumor membesar, paru-paru kanan 'collapse', Amyza Aznan mohon doa untuk anak kanser tahap tiga. 'Moga ada keajaiban buat Andre Mikhail'

Iklan

PELAKON Amyza Aznan mengundang sebak apabila memohon doa orang ramai susulan keadaan anak sulungnya, Andre Mikhail Khairil Izhar, 20, semakin serius susulan saiz tumor yang semakin membesar.

Andre yang menghidap kanser paru-paru terdahulu menjalani rawatan berkaitan tumor pada paru-paru.

Iklan
Iklan

"Assalamualaikum, saya Amyza Aznan dengan rendah hati ingin memohon doa kalian buat anakanda saya, Andre Mikhail Bin Khairil Izhar yang akan memulakan prosedur rawatan tumor. Hanya ALLAH yang membalas segala doa-doa kalian," kongsinya di Insta Story.

Menurut Amyza, pada awalnya prosedur menyedut air di paru-paru kanan akan dilakukan. Namun keadaan sebenar lebih membimbangkan apabila pakar memaklumkan tiada cecair ditemui.

Iklan

Sebaliknya, paru-paru kanan Andre dilaporkan ‘collapse’ akibat tekanan daripada tumor yang semakin membesar.

“Tak jadi sedut air sebab tiada air dalam paru-paru. 

Iklan

"Kata pakar, bukan air, tapi saiz tumor yang membesar dan menyebabkan paru-paru kanan collapse,” kongsinya dalam nada pilu.

Lebih membimbangkan, Amyza turut mendedahkan bacaan tumor marker anaknya kini mencecah 22,000. Tumor yang pada awalnya bersaiz 18 sentimeter dilaporkan hanya mengecut kepada 14 sentimeter berdasarkan  imbasan tomografi berkomputer (CT scan) terakhir.

Bagaimanapun, untuk mengetahui perkembangan terbaharu termasuk saiz sebenar tumor, mereka perlu menunggu giliran Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) yang dijadualkan sebulan lagi.

“Semoga ada keajaiban buatmu anak, Andre Mikhail,” titipnya.

Dalam luahan yang sama, pelakon Mat Despacth itu turut berharap agar titipan doa orang ramai dimakbulkan, lebih-lebih lagi pada malam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

“Istimewa buat anakku Andre Mikhail Bin Khairil Izhar, semoga ALLAH angkat segala penyakit yang memudaratkan dan dipanjangkan usia dan diganti dengan keajaiban kesembuhan serta khabar berita yang menggembirakan, insya-ALLAH. Amin,” katanya.

Perkongsian tersebut mengundang rasa simpati ramai rakan artis dan peminat yang membanjiri ruangan komen dengan doa serta kata-kata semangat.

Semoga Andre Mikhail diberikan kekuatan dan kesembuhan, dan keluarga ini terus tabah menghadapi ujian berat ini.

Terdahulu, Amyza berkongsi anak sulungnya itu disahkan mengalami kanser paru-paru tahap tiga pada pertengahan Februari 2025 selepas doktor mengesahkan terdapat ketumbuhan ketika menjalani rawatan di Hospital Ampang.