PELAKON Izara Aishah bakal menyambut kelahiran anak ketiga perempuan!
Aktres berusia 33 tahun itu baru-baru ini sempat berkongsi berita gembira tersebut selain mendedahkan keadaan dirinya yang kini semakin sarat hamil.
"Dah nampak lah ni. Ada. Ketika hamil anak pertama dan kedua saya sangat feminin. Yang ketiga ini saya ingatkan boy tetapi dia girl.
"Sebab saya suka tengok lawan-lawan dan sukan lasak seperti UFC.
"Saya suka MMA. Tengok boxing. Saya suka sangat-sangat Khabib tetapi dia girl," ujar Izara.
Meniti usia kehamilan tujuh bulan, Izara mengakui beberapa kali hampir pitam dan tidak mampu berdiri lama sehingga terpaksa berbuka puasa demi menjaga kesihatan diri serta kandungan.
"Saya tidak boleh berdiri lama akan rasa hendak pitam. Saya hanya sempat berpuasa beberapa hari, tapi hari ini saya tidak berpuasa.
"Saya tidak berbangga kerana terpaksa, saya cepat rasa nak pengsan. Doktor kata bayi sedang menyerap protein daripada saya.
“Memang rasa nak pitam, sampai terduduk. Jadi saya tak boleh paksa diri.
"Kalau tak larat, saya kena minum air dan rehat,” kongsinya.
Menjawab pertanyaan media, pelakon Vanila Coklat ini mendedahkan berat badannya sudah naik 10 kilogram setakat ini, namun bersyukur kerana pemeriksaan doktor menunjukkan semuanya dalam keadaan baik.
Menurutnya, sepanjang tiga kehamilan, dia tidak pernah mengalami alahan atau morning sickness, namun perubahan yang dirasai lebih kepada emosi.
Dia yang tegas tentang kerja mudah ‘trigger’ terutama apabila berdepan dengan individu yang bersikap sambil lewa atau bekerja dalam keadaan lembap.
“Saya memang jenis serius bila bekerja dan sangat profesional.
"Bukan tak boleh buat perlahan, tapi kalau dah tahu perkara itu penting dan masih ambil mudah, memang saya jadi cepat marah,” jelasnya.
Menganggarkan April sebagai bulan kelahiran cahaya matanya, pemilik nama penuh Izara Aishah Hisham itu berharap segala urusan dipermudahkan dan berhasrat untuk melahirkan secara normal seperti sebelum ini.
"Namun, saya berseloroh meminta supaya dia tunggu dulu sehingga tiba masanya.
"Insya-ALLAH dijangka lahir pada bulan April. Saya rasa mungkin selepas raya, tapi apa-apa pun bergantung pada keadaan.
"Saya berharap dapat bersalin secara normal seperti sebelum ini. Jika tiada sebarang komplikasi, nsya-ALLAH semuanya dipermudahkan.
"Setakat ini tiada apa-apa masalah dan doktor juga memaklumkan keadaan saya serta bayi dalam keadaan baik. Saya cuma berharap ALLAH permudahkan segala urusan sehingga hari kelahiran nanti," kongsinya yang akan beraya di Kuala Lumpur sebelum pulang ke Pulau Pinang pada hari raya kedua.
Izara ditemui SinarPlus pada Majlis Iftar Jiwa Prihatin anjuran Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama Yayasan Prihatin baru-baru ini.
Pada majlis kali ini, Yayasan Nurjiwa dan Yayasan Prihatin menghargai jasa dan menyantuni golongan penggiat seni serta pengamal media yang sedang berhadapan dengan ujian hidup termasuk masalah kesihatan.
Selain itu, suasana majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada 120 orang anak yatim dan pelajar tahfiz dari Pusat Jagaan Anak Yatim dan Asnaf Baitul Nurrawdhah, Rumah Titian Kaseh, Maahad Tahfiz Al-Quran Misbah Falah dan Madrasah Tahfiz Al-Quran Syazwan.
Sekadar info, Izara berkahwin dengan anak tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza, Muhammad Adib Khalid pada 17 November 2017.
Hasil perkahwinan, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Irisa Alaia, 6, dan Amara Amina, 3.