Que Haidar ‘senyap’ cetus tanda tanya, Kodi Rasheed tampil bersuara – ‘Dua-dua guru saya'

Iklan

DALAM dunia glamor yang sering dipenuhi spekulasi, satu perkara yang selalu jadi perhatian adalah bila seseorang tiba-tiba ‘menghilang’.

Nama Que Haidar kembali menjadi bualan hangat, apabila  dikatakan menghilangkan diri selepas dihimpit dengan pelbagai dakwaan sejak akhir-akhir ini.

Iklan
Iklan

Pelakon Kodi Rasheed atau nama sebenarnya Muhammad Shazmeer Mohd Rasheed, berkongsi bahawa aktor yang dianggap seperti abang itu sebenarnya berada dalam keadaan baik.

Bagi Kodi, hubungan mereka bukan sekadar rakan industri, malah lebih kepada ikatan guru dan anak murid yang sudah lama terjalin.

Iklan

Menurutnya, komunikasi antara mereka tidak pernah putus. Dia sendiri mengakui kerap menghubungi Que, sama ada sekadar bertanya khabar atau berbual tentang perkembangan kerja seni masing-masing.

“Saya memang ada berhubung dengan dia sebab dia cikgu saya. Mestilah saya tanya dia okay ke tak. Kadang-kadang kami sembang pasal filem, saya pun ada ajak dia tengok Libang Libu dan tanya pasal promo Malaikat Malam.

Iklan

“Kalau boleh, seminggu dua atau tiga kali saya akan telefon. Kalau tak pun, bila teringat, terus hubungi. Alhamdulillah, dia okay,” kongsinya.

Kodi ditemui ketika majlis tayangan perdana filem Libang Libu di GSC, Mid Valley, Kuala Lumpur. Dalam kesempatan itu juga, dia memilih untuk tidak mencampuri urusan peribadi Que, apatah lagi melibatkan hal sensitif yang sedang diperkatakan ramai.

Bagi pelakon filem Malaikat Malam itu, sokongan yang diterima oleh Que ketika ini adalah cerminan kepada kebaikan yang pernah ditabur sebelum ini. Baginya, kasih sayang orang sekeliling bukan datang secara tiba-tiba, tetapi hasil daripada sikap dan hubungan yang dibina sejak dulu.

“Ramai yang sayangkan dia. Pada saya, apa yang dia buat sebelum ini, itulah yang kembali kepada dia sekarang.

“Memang sedih bila jadi macam ini. Waktu mereka bercerai dulu pun saya rasa sedih sebab mereka nampak seperti pasangan yang sangat serasi. Tapi saya tak mahu masuk campur lebih-lebih, nanti jadi macam menjaga tepi kain orang pula. Dua-dua adalah guru saya,” katanya jujur.

Spekulasi

Dalam nada yang sama, Kodi melihat setiap dugaan pasti ada hikmah yang tersendiri. Walaupun situasi yang melanda Que bukan sesuatu yang mudah, dia percaya akan ada sinar baik yang menanti di penghujungnya.

Tidak hanya itu, Kodi turut menitipkan pesanan kepada orang ramai agar tidak terus menghukum atau melemparkan spekulasi tanpa mengetahui perkara sebenar. Katanya, ruang dan masa perlu diberikan kepada individu yang terlibat untuk menyelesaikan hal peribadi mereka.

“Tak perlu masuk campur atau buat andaian. Kita pun tak tahu cerita sebenar suami isteri. Lebih baik beri mereka ruang. Insya-ALLAH akan ada jalan baik untuk mereka,” ujarnya.

Terdahulu, kisah perceraian antara Que dan Linda Jasmine kembali menjadi perhatian selepas timbul dakwaan bahawa perpisahan itu dilakukan demi melindungi anak-anak daripada perkara tidak diingini.

Untuk rekod, Que mendedahkan bahawa mereka sah bercerai pada 2 Julai 2024 selepas 15 tahun melayari bahtera perkahwinan.

Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Tengku Ratu Haidar dan Tengku Cleopatra Haidar.

Terdahulu, Linda turut mempunyai seorang anak lelaki, Qalif Khan hasil perkahwinan pertama.