PELAWAK Achey Bocey dan isterinya, Nur Hasanah Yahaya memutuskan untuk kembali menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).
Menerusi hantaran video di laman Instagram, Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir bin Hamzah, 40, dilihat menemani isterinya yang mesra disapa Anne, menghadiri temu janji di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur untuk memulakan proses berkenaan.
Menurut Achey, keputusan untuk menempuh fasa ini sekali lagi hadir bersama pelbagai perasaan. Namun, kekuatan mereka berganda apabila melihat keterujaan anak angkat mereka, Nur Tiara Zinnirah.
Sementara itu, Anne turut meluahkan rasa hiba dan harapan menerusi coretan peribadinya.
Baginya, setiap langkah yang diatur kali ini disertakan dengan doa dan penyerahan jiwa sepenuhnya kepada Yang Maha Esa.
Menjengah ke ruangan komen, peminat dan rakan selebriti memberikan kata-kata semangat yang tidak putus-putus. Rata-ratanya mendoakan agar urusan Achey dan Anne kali ini dipermudahkan dan membuahkan hasil yang indah.
Terdahulu, pasangan itu pernah melalui fasa duka apabila proses IVF yang dilakukan pada tahun 2022 tidak berjaya.
Bagaimanapun, kegagalan lalu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berusaha mendapatkan zuriat kandung sendiri.
Sekadar info, Achey mendirikan rumah tangga dengan Nor Hasanah Yahaya pada 2011. Pasangan itu mengambil seorang anak angkat, Tiara Zinnirah, 8.