SEMBILAN buah Sekolah Menengah Teknik (SMT) kini telah menjadi sekolah berasrama penuh iaitu Sekolah Berasrama Penuh Teknikal (SBP-T).
Berita baik itu dikongsikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang memaklumkan SMT berkenaan di seluruh negara kini secara rasmi diserahkan kepada Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) Kementerian Pendidikan (KPM).
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha memperkukuh pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta membuka lebih banyak peluang kepada pelajar yang berminat dalam bidang teknikal dan STEM.
Berikut lima perkara penting yang ibu bapa dan pelajar perlu tahu mengenai SBP-T:
1. Sembilan SMT kini bertukar menjadi SBP-T
Sembilan sekolah yang terlibat ialah:
-SMT Alor Setar, Kedah
-SMT Tunku Abdul Rahman Putra, Pulau Pinang
-SMT Cheras, Kuala Lumpur
SMT Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan
-SMT Bukit Piatu, Melaka
-SMT Kuala Terengganu, Terengganu
-SMT Kuantan, Pahang
-SMT Johor Bahru, Johor
-SMT Sejingkat, Sarawak
2. Menurut Fadhlina, penyerahan rasmi dan penjenamaan semula itu bukan sekadar pertukaran operasi, sebaliknya merupakan satu langkah strategik yang dirancang secara teliti untuk terus memartabatkan pendidikan TVET di negara ini.
3. SBP-T akan memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik dan pendidikan teknikal berprestasi tinggi, sekali gus meletakkannya setaraf dengan sekolah-sekolah berasrama penuh lain di bawah KPM.
4. Penstrukturan ini turut memperkasa peranan SBP-T dalam melahirkan modal insan berkualiti dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta TVET, sejajar dengan keperluan tenaga kerja mahir negara pada masa hadapan.
5. Terdahulu, Sekolah Menengah Teknik merupakan sekolah khusus yang dikendalikan di bawah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV). Kini, pengurusannya diserahkan kepada Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP).
Dengan perubahan ini, pelajar yang berminat dalam bidang teknikal kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk mendapatkan pendidikan berkualiti, selain sekolah berasrama penuh aliran biasa dan sekolah-sekolah khusus yang lain.
Sumber: Facebook