PERJALANAN bergelar seorang ibu sememangnya penuh dengan fasa matang yang mendewasakan, malah setiap keputusan yang diambil pastinya meletakkan keselamatan cahaya mata sebagai keutamaan tertinggi.
Begitulah coretan fasa indah yang sedang dilalui oleh pelakon jelita, Datin Intan Najuwa, apabila hantaran santainya di aplikasi Threads baru-baru ini mengenai hasrat mencuba kaedah vaginal birth after caesarean (VBAC) untuk kelahiran anak kedua menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan warga maya.
Enggan membiarkan salah faham terus bertebaran, pelakon berusia 29 tahun itu tampil memberikan penjelasan harmoni, sekali gus menepis persepsi kononnya beliau cuba mempertikaikan kaedah bersalin secara pembedahan sebelum ini.
Hakikatnya, perkongsian tersebut hanyalah ruang interaksi santai seorang ibu yang ingin menggali tip serta bertukar pengalaman berharga bersama wanita-wanita lain yang pernah melalui proses serupa.
"Saya rasa ada sedikit salah faham mengenai status saya sebelum ini tentang VBAC.
"Sudah tentu saya gembira untuk meneroka pilihan itu," katanya.
Bagi yang mungkin kurang arif, VBAC merupakan kaedah melahirkan anak secara normal selepas seseorang ibu itu mempunyai sejarah menjalani kelahiran menerusi prosedur pembedahan atau caesarean.
Menjelaskan dengan lebih lanjut, Intan menegaskan dia sama sekali tidak pernah mempunyai sentimen negatif terhadap kaedah pembedahan, memandangkan cahaya mata pertamanya juga dilahirkan menerusi alternatif tersebut atas faktor kesihatan.
Mengimbas kembali memori kelahiran sulungnya, isteri kesayangan, Datuk Ahmad Azraf Azman menjelaskan keputusan akur dengan kaedah pembedahan dibuat tanpa sebarang keraguan demi memastikan keselamatan diri dan kandungannya terjaga sepenuhnya selepas mendapat nasihat profesional daripada doktor pakar.
"Malah, sayalah orang yang terus bersetuju apabila doktor menasihatkan saya untuk menjalani pembedahan tersebut," ujarnya.
Dalam pada itu, ibu kepada Imane Lunara turut menitipkan pesanan lembut bahawa keinginan untuk merasai pengalaman VBAC bukanlah satu usaha untuk membuktikan kehebatan diri atau taksub terhadap label 'bersalin normal'.
Fokus utamanya sebagai seorang ibu tetap berpaksikan kepada kesejahteraan dan keselamatan mutlak, tanpa mengira apa jua kaedah kelahiran yang bakal dilaluinya kelak.
"Kalau tidak, itu pun tidak mengapa. Pada akhirnya, saya akan sentiasa mengikut nasihat doktor dan memilih apa yang paling selamat untuk ibu dan bayi," jelasnya lagi.
Pada masa sama, selebriti anggun ini turut menepis tanggapan segelintir pihak yang cuba mempolitikkan perbincangan itu dengan mengaitkannya dengan mentaliti kaum tertentu.
Baginya, keindahan melahirkan zuriat adalah sebuah perjalanan yang bersifat universal bagi setiap wanita, melangkaui sempadan latar belakang mahupun bangsa.
"Ada yang lebih memilih kelahiran normal, ada yang memilih caesarean dan ada juga yang hanya mengikut apa yang paling selamat apabila tiba masanya.
'Saya sebenarnya cuma bertanya tentang tip dan pengalaman VBAC, bukannya memulakan perdebatan tentang kaum, kaedah bersalin atau cara pemikiran," tegasnya lagi.
Rentetan itu, perkongsian ikhlas daripada Intan ini diharapkan dapat memberi perspektif yang lebih positif dalam kalangan masyarakat.
Di sebalik statusnya sebagai seorang selebriti, dia juga seperti ibu-ibu lain yang sentiasa mahukan yang terbaik dalam melayari bahtera keibuan dengan penuh kasih sayang dan realistik.
Untuk rekod, Intan Najuwa dan suami mendirikan rumah tangga pada 18 Ogos 2023.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan anak perempuan pada Disember 2024.