KEHILANGAN bapa tersayang dalam sekelip mata meninggalkan lompang yang amat besar dalam hidup. Mana tidaknya, daripada sebuah kehidupan yang serba mewah dan selesa, takdir bertukar arah apabila bapa tercinta dijemput Ilahi akibat pandemik Covid-19 sekitar enam tahun lalu.
Namun atas kecekalan, Nurul Atikah Amran, 20, kedukaan itu tidak dibiar berlarutan, sebaliknya dijadikan azimat paling berharga untuk dia membuktikan sesuatu yang luar biasa dalam bidang akademik.
Menerima keputusan 4A 1A- dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan pada Khamis.
Ditanya kaedah belajar yang diamalkan, Nurul Atikah berkata, dia menggunakan platform YouTube untuk mencari bahan rujukan tambahan dan mengulang kaji pelajaran secara bersendirian di rumah.
Lebih manis lagi, dia mendedikasikan keputusan berkenaan sebagai hadiah buat ibu tersayang, Fatimah Mat Yassin, 52.
"Bila di sekolah, saya akan belajar bersama kawan-kawan dan cikgu, tetapi bila balik rumah, saya belajar sendiri dengan mencari bahan di YouTube. Saya cari bahan kat situ untuk lebih faham.
"Keputusan STPM ni hadiah untuk ibu yang telah banyak berkorban demi kami empat beradik sejak pemergian ayah," katanya yang mengambil aliran Sains Sosial dalam STPM.
Imbas kembali enam tahun lalu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa itu kehilangan bapa tersayang, Amran Hassan meninggal dunia pada tahun 2020 akibat jangkitan Covid-19.
Bagaimanapun, ia tidak sedikitpun mematahkan semangat Nurul Atikah sebaliknya berusaha keras demi keluarga tersayang.
Ibunya, Fatimah Mat Yassin, 52, berkata, kehidupan mereka sekeluarga berubah sepenuhnya selepas suaminya, Amran Hassan yang merupakan seorang pemandu lori meninggal dunia pada tahun 2020 akibat jangkitan Covid-19.
"Masa arwah masih ada hidup kami mewah juga, tapi lepas dia meninggal, saya terpaksa bekerja untuk sara keluarga.
"Dengan pendapatan sekitar RM1,700 sebulan, itulah yang digunakan untuk menyara empat anak," katanya yang bekerja sebagai tukang cuci di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mengkuang, di sini.
Menurut Fatimah, selain Nurul Atikah, dua lagi anaknya iaitu Nurul Anis Shahirah, 24, dan Nurul Ain Fitri, 22 telah bekerja manakala anak bongsunya kini sedang menuntut di Tingkatan Lima.
"Boleh dikatakan dua kakak Atikah yang banyak membantu dia belajar. Termasuklah bantuan dari segi kewangan dan sebagainya.
"Selain gaji saya sebagai tukang cuci, mereka juga banyak menyumbang kepada kejayaan Atikah dalam STPM,"katanya.
Nurul Atikah yang sebelum ini memperoleh keputusan 3A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini berjaya mendapat panggilan temu duga di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi program Sarjana Muda Pendidikan (Geografi).
Sumber: Sinar Harian