BERCAKAP soal keberkatan rezeki, setiap orang pastinya mempunyai cara tersendiri untuk memastikan apa yang diperoleh menjadi asbab kebaikan dalam hidup.
Bagi penyanyi popular Sufian Suhaimi, dia memilih langkah yang cukup drastik dan berhati-hati apabila sanggup mengasingkan sepenuhnya pendapatan daripada kerjaya seni kerana bimbang terselit unsur syubhah.
Mengakui cabaran dalam dunia hiburan membuatkannya lebih peka, pelantun lagu Di Matamu ini tidak mahu mengambil mudah hal berkaitan aliran tunai demi menjaga ketenteraman jiwa serta maruah keluarga tercinta.
Berkongsi cerita mendalam menerusi audio siar YouCast, Sufian mendedahkan bahawa dia mempunyai formula sendiri dalam membahagikan duit hasil titik peluhnya agar tidak bercampur aduk dengan aliran tunai perniagaan yang diusahakannya.
"Saya takut kalau saya gunakan untuk kehidupan nanti tak berkat," ujarnya jujur.
Nafkah bersih dan diredai
Prinsip hidup yang dipegang erat oleh penyanyi berusia 33 tahun itu membuktikan bahawa dia tidak mahu mengambil mudah tentang apa sahaja yang menjadi darah daging.
Jelasnya lagi, pendapatan daripada kerjaya nyanyian langsung tidak disentuh untuk modal perniagaan, sebaliknya diperuntukkan khusus bagi membiayai hobi, gaya hidup, serta barangan teknikal studio miliknya sahaja.
"Nak bagi makan anak bini saya tak pakai duit menyanyi. Kahwin pun tak pakai duit menyanyi," tambahnya lagi.
Ungkap suami kesayangan Rania Al Sadat yang mahu memastikan nafkah buat keluarganya pada masa depannya nanti benar-benar bersih dan diredai.