GAYA santai dan celoteh spontannya dalam loghat utara yang pekat sering kali mencuri perhatian ramai, menjadikannya antara personaliti media sosial dan pakar mekap yang paling disenangi di Malaysia.
Di sebalik kilauan dunia glamor dan kesibukan menguruskan empayar perniagaan yang kian memuncak, kehidupan pemilik nama sebenar Nur Nabila Zulyadaini, atau lebih mesra disapa MUA Bellaz, kembali ke fitrah asal seorang ibu biasa sebaik sahaja melangkah kaki ke rumah.
Mengakui dirinya juga tidak lari daripada sifat tegas dalam mendidik anak-anak, Bellaz menyifatkan fasa keibuan sebagai satu amanah besar yang menuntut komitmen penuh tanpa perlu tergesa-gesa mengejar publisiti luar.
Baru-baru ini, kehangatan namanya kembali diperkatakan apabila timbul desas-desus mengenai kemungkinan dia atau ahli keluarganya dilamar untuk menyertai program realiti popular, Talk To My Manager (TTMM).
Ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi haruman terbaharunya, Bellaz dengan nada berseloroh mengakui dirinya masih selesa dengan rutin harian sebagai seorang ibu biasa dan belum mempunyai sebarang perancangan ke arah itu.
Ibu kepada empat cahaya mata itu menganggap tanggungjawab membesarkan anak-anak yang sedang membesar adalah keutamaan paling besar buat dirinya ketika ini, terutamanya dalam memastikan anak-anaknya membesar dengan disiplin yang betul.
"So far saya masih sama macam dulu, tetap jadi 'singa' di rumah.
"Seperti biasa, bila duduk di rumah, fokus saya adalah menjadi ibu dan isteri terutama menjaga anak-anak.
"Zaman sekarang ni, anak-anak kita kena jaga, kan, batas mereka semua," ujar Bellaz sambil tersenyum manis menceritakan ketegasannya dalam mendidik anak-anak di rumah agar tidak hanyut dengan dunia luar yang serba mencabar.
Apabila ditanya pula mengenai potensi anak perempuannya, Wara, yang dilihat mewarisi bakat serta pesona dirinya sebagai pempengaruh media sosial, Bellaz tidak menafikan perkara tersebut.
Bagaimanapun, sebagai seorang ibu yang amat mementingkan fasa kanak-kanak yang sihat, wanita berdarah kacukan Melayu- Turki merasakan masanya masih belum tiba untuk anaknya melangkah ke dalam industri hiburan pada usia yang begitu mentah.
Bellaz mahu memastikan anaknya menikmati zaman kanak-kanak dengan cara yang paling semula jadi sebelum memikirkan sebarang kerjaya komersial.
"kakaknya Icha sejujurnya seorang yang pemalu sikit orangnya.
"Kalau Wara dia memang ikut saya, kira macam MUA Bellaz nombor dua, tapi sekarang masih kecil tak sesuai masuk TTMM. Dia okey je, tapi kena tunggu dia besar sikit, besar sikit," jelasnya lagi yang mahu anaknya diberikan ruang untuk matang terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sendiri apabila dewasa kelak.
Bercerita lanjut mengenai corak didikan di rumah, Bellaz mendedahkan dia dan suaminya, mengamalkan sikap terbuka dengan memberikan kebebasan yang secukupnya kepada anak-anak untuk meneroka alam semula jadi.
Kehidupan di kampung dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan anak-anak mereka dapat merasai pengalaman berharga yang jarang didapati oleh anak-anak di kota raya.
Kebebasan tersebut dianggap sebagai terapi terbaik untuk tumbesaran mental dan fizikal mereka.
"Tapi kalau duduk rumah tu, memang macam-macam mereka buat, Bella dan suami bagi kebebasan. Di kampung, ikut tangkap ikan, main bendang, selut dan sebagainya. Sekali-kali dengan Bella join sekali," kongsinya dengan penuh teruja membayangkan kemeriahan aktiviti kampung yang sering mereka lakukan bersama-sama.
Menyentuh tentang peranan suaminya, Anuar Ahmad yang mesra disapa Mat Nuart dalam menguruskan keluarga, Bellaz menyifatkan lelaki itu sebagai seorang ketua keluarga yang tidak banyak bercakap namun mempunyai pandangan yang tegas dalam soal masa depan anak-anak.
Kerjasama dan persefahaman yang erat antara mereka berdua menjadi kunci utama keharmonian rumah tangga yang dibina selama ini, terutamanya apabila melibatkan keputusan-keputusan besar.
"Mat Nuart dia tak cakap banyak, tapi dia akan nampak dulu yang mana bagus. Jadi kita faham apa keputusan dia kalau dalam bab anak," tambah Bellaz lagi yang sangat menghormati setiap keputusan yang dibuat oleh suaminya demi kebaikan bersama.
Pertemuan eksklusif SinarPlus bersama personaliti itu berlangsung dalam suasana yang cukup meriah bersempena dengan pelancaran koleksi wangian terbaharu, Bella Signature, hasil kolaborasi mantap bersama jenama wangian tempatan yang tidak asing lagi, Perfume Paradise.
Label terkemuka tersebut terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri haruman dengan menampilkan tiga wangian eksklusif yang direka khas bagi mencerminkan keperibadian tersendiri MUA Bellaz selaku duta jenama berkenaan.
Koleksi baharu yang dinanti-nantikan oleh para peminat ini memperkenalkan tiga haruman unik iaitu Vanille Veil, Violet Haze, dan Velvet Skin. Setiap satu daripadanya dibangunkan dengan identiti serta karakter yang sangat tersendiri bagi menawarkan pengalaman wangian yang berbeza dan memikat kepada para pengguna setianya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perfume Paradise, Nur Afiqah, Bella Signature tampil dengan pendekatan yang jauh lebih segar dan baharu berbanding rangkaian wangian yang pernah diperkenalkan oleh syarikat sebelum ini.
Katanya, kebanyakan produk terdahulu dihasilkan berasaskan inspirasi daripada wangian popular yang sudah dikenali di pasaran, namun koleksi kali ini dibangunkan sepenuhnya sebagai koleksi original yang mempunyai karakter tersendiri.
"Untuk Bella Signature, kami menghasilkan wangian yang benar-benar eksklusif dan tidak mempunyai persamaan dengan mana-mana haruman lain di pasaran. Profil haruman dan hala tuju setiap wangian dibangunkan khas bagi memberikan pengalaman yang berbeza kepada pengguna," kata Nur Afiqah.
Dia turut mengakui, keistimewaan utama koleksi ini terletak pada penglibatan secara langsung MUA Bellaz sendiri yang memainkan peranan yang sangat penting dalam pemilihan ketiga-tiga jenis wangian berkenaan.
"Setiap wangian mempunyai karakter dan profil haruman yang berbeza. Malah, salah satu daripadanya iaitu Velvet Skin memperkenalkan kategori Skin Scent yang pertama kali dihasilkan oleh Perfume Paradise," jelasnya lagi mengenai inovasi terbaharu syarikatnya.
Mengulas mengenai inspirasi di sebalik penghasilan Bella Signature, Nur Afiqah menyatakan bahawa koleksi tersebut diinspirasikan sepenuhnya daripada personaliti memikat dan pengaruh luar biasa MUA Bellaz yang dianggap sebagai ikon kecantikan dalam kalangan peminatnya.
Pihak syarikat mahu menghasilkan sesuatu yang unik dan berbeza daripada wangian-wangian sebelum ini, sekali gus mencerminkan keperibadian MUA Bellaz yang ceria namun tetap elegan.
Dalam pada itu, dia turut berkongsi strategi utama Perfume Paradise untuk terus berkembang dan kekal relevan dalam industri wangian tempatan yang semakin kompetitif hari ini.
Syarikatnya sentiasa memastikan wujudnya keseimbangan yang sempurna antara kualiti premium produk dan harga yang mampu milik agar ia dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat.
"Kami sentiasa menitikberatkan kualiti haruman yang ditawarkan, namun pada masa sama memastikan ia kekal mampu dimiliki oleh pengguna. Itu antara faktor yang membantu jenama kami terus mendapat sokongan padu," ujarnya.
Ditanya mengenai pemilihan MUA Bellaz sebagai rakan kolaborasi utama, Nur Afiqah mendedahkan bahawa hubungan kerjasama erat yang telah terjalin selama 11 tahun menjadi faktor paling utama mengapa kolaborasi ini terus dipertahankan.
Tahun 2026 menandakan tahun ke-11 kerjasama antara Perfume Paradise dan MUA Bellaz, satu tempoh yang membuktikan keutuhan profesionalisme mereka. Sepanjang tempoh tersebut, Bellaz menunjukkan komitmen yang sangat tinggi, profesional, dan sangat mudah untuk bekerjasama, menjadikannya wajah yang paling sempurna untuk koleksi Bella Signature.
Majlis pelancaran yang gilang-gemilang itu turut diserikan lagi dengan kehadiran Rafaela Li-Topalian, seorang Perfume Evaluator dari Perancis yang diterbangkan khas bagi berkongsi pandangan profesional mengenai pembangunan dan karakter unik setiap wangian dalam koleksi Bella Signature.