DEBARAN menantikan kehadiran 'orang baharu' pastinya membuatkan mana-mana pasangan suami isteri tak senang duduk.
Demikian juga dengan pelakon kacak, Fattah Amin dan isteri tercinta, Amira Othman yang kini ibarat menghitung hari untuk bergelar ibu dan ayah. Pendek kata, kedua-duanya sedang berada dalam fasa berjaga-jaga untuk menyambut anak sulung mereka pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.
Berkongsi rasa teruja itu, aktor berusia 36 tahun itu memberitahu segala persiapan menyambut cahaya mata mereka sudah pun siap sepenuhnya.
"Persiapan setakat ini, alhamdulillah semuanya sudah disediakan, maksudnya dari segi barang-barang bayi dan juga barang-barang untuk isteri.
"Semua sudah disediakan dan barang-barang itu pun sudah ada dalam kereta. Sekarang cuma tunggu masa sahaja untuk dibawa ke hospital," kongsinya dengan nada teruja.
Bagi memastikan dirinya sentiasa ada di sisi Amira pada saat-saat penting pemilik nama sebenar, Abdul Fattah Mohd Amin mengambil keputusan berani untuk mengehadkan kerjaya seninya buat sementara waktu.
Memetik Harian Metro, bapa kepada seorang cahaya mata perempuan hasil perkahwinan terdahulu mengakui, dia kini lebih selektif dan sanggup menolak tawaran kerja yang memerlukan komitmen di luar ibu kota.
"Sekarang ini memang saya tidak mengambil mana-mana tawaran kerja yang memerlukan saya untuk menjalani penggambaran di luar dari kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.
"Malah, tawaran yang sudah disahkan untuk bulan depan juga hanya melibatkan kawasan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sahaja. Bulan ini lagilah tiada kerja luar.
"Jadi, memang kami betul-betul sedang bersedia untuk ke hospital," jelasnya yang turut mengesahkan isterinya bakal bersalin di sebuah hospital terkemuka di Kuala Lumpur.
Lumrah bila bercerita bab cahaya mata sulung, pastinya ramai peminat di luar sana yang berteka-teki sama ada pasangan merpati dua sejoli ini bakal menimang bayi lelaki atau perempuan.
Rupa-rupanya, pasangan sejoli berkenaan sudah pun tahu mengenai jantina bayi mereka, namun memilih untuk mengunci mulut.
"Untuk kami berdua, kami sudah tahu jantina bayi. Bagaimanapun, adalah lebih baik untuk kami umumkan selepas bayi dilahirkan nanti," katanya sambil membiarkan peminat terus berteka-teki.
Dalam menanti detik bersejarah buat keluarga kecil mereka, Fattah dengan rendah hati sempat memohon jasa baik orang ramai agar mendoakan kelancaran urusan mereka.
"Sekarang ini kami mohon doa yang baik-baik daripada semua supaya proses bersalin nanti dipermudahkan," ujarnya tulus.
Fattah berkongsi hal tersebut ketika ditemui pada acara Picklebash 2.0 di Bukit Kiara, baru-baru ini.
Sama-sama kita doakan semoga urusan Amira untuk melahirkan anak sulung nanti dipermudahkan dan kedua-dua ibu serta bayi berada dalam keadaan sihat belaka.