'Kalau arwah abah masih ada mesti dia suka...' - Lagu Sadis bikin Aina Abdul menangis kenang arwah ayah dan masa lalu

Iklan

KERINDUAN terhadap memori lalu dan insan tersayang adakalanya sukar diungkapkan, namun bagi penyanyi tersohor, Aina Abdul, segala rasa itu diterjemahkan dengan begitu mendalam melalui buah tangan terbaharunya yang berjudul 'Sadis'.

Bagi Aina, lagu tersebut bukan sekadar sebuah karya biasa, malah ia merupakan sebuah naskhah penyembuhan yang sangat peribadi buat dirinya sehingga mampu menjentik emosi setiap kali mendendangkannya.

Iklan
Iklan

"Saya pun rindu dengan kehadiran ayah saya sebab abah kan seorang yang, sudah tentu momen air mata itu pasti ada.

"Bukannya dalam setiap lagu, tapi khususnya lagu 'Sadis' ini memang mengalirkan air mata saya kerana saya mengingati perkara yang dah lepas.

Iklan

"Saya mengingati perkara yang lepas, saya mengingati perkara yang saya tahu saya tidak boleh kembali semula ke waktu itu.

"Itu adalah momen sadis yang saya kira sesuatu yang sangat peribadi, lagu penyembuhan yang paling berkesan untuk diri saya (my most healing song)," kongsinya jujur.

Iklan

Mengulas lanjut mengenai proses penciptaan lagu tersebut, pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani itu mengakui dia perlu menyelami semula memori lama bagi mendapatkan mood yang dimahukan.

Jelasnya, jalan cerita dalam lagu itu membawa dirinya kembali ke zaman kolej, di mana waktu itu kehidupan terasa cukup ringkas dan indah, tanpa perlu memikirkan bebanan komitmen kerja.

"Jadi lagu itu, bila saya menulisnya, memang saya kena letakkan diri saya kepada Nurul Aina yang dulu-dulu, zaman kolej yang mungkin masa itu kita rasa dunia ini indah sahaja.

"Kita lebih banyak di kelas, kita tak fikir pasal kerja, mungkin kita mengalami cinta buat kali pertama. Jadi, itulah mood untuk lagu 'Sadis' ini," katanya.

Bukan itu sahaja, lagu tersebut turut menyentuh sensitiviti pendengar yang mula merindui figura seorang ibu apabila usia semakin menginjak dewasa.

Berkongsi mengenai status dirinya yang kini sudah kehilangan bapa, Aina sempat menitipkan pesanan mendalam buat peminat di luar sana agar sentiasa menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada.

"Sudah tentu ada yang perasan bahagian tentang ibu itu, itu sangat tepat sebab bila kita dah umur sekarang ini, kita mula terindu dengan suara mak kita, terindu dengan bebelan dia.

"Siapa yang macam saya, alhamdulillah saya masih ada ibu tapi saya tidak ada ayah. Saya pun rindu dengan susuk ayah saya sebab ayah, abah kan seorang yang dia tak banyak cakap, tapi muka dia itu penuh dengan seribu mesej, kan?

"Mungkin tak keluar air mata, tapi dia ada simpan dalam hati dia. Jadi lagu ini buat anda semua yang mungkin dah kehilangan ataupun yang mungkin masih ada, beringatlah," ujarnya lagi.

Lagu kegemaran arwah ayah

Lebih istimewa, genre dan susunan muzik bagi lagu berkenaan sebenarnya mempunyai nilai sentimental yang tinggi kerana ia merupakan seleksi muzik yang sering menjadi kegemaran arwah bapanya suatu ketika dahulu.

"Sebenarnya kalau nak tahu, arwah abah saya seorang penggemar muzik seperti ini. Abah saya seorang yang, muzik kegemaran abah saya adalah kalau anda tahu kumpulan Sofaz.

"Jadi dia tidaklah sama macam saya, cuma dia sealiran dan jenis yang mudah diterima. Jadi saya rasa macam kalau abah saya tahu saya lancarkan lagu ini, mesti ia akan jadi lagu kegemaran barunya," akui Aina penuh emosi.

Ditulis dan digubah sendiri oleh Aina, Sadis menyaksikan kerjasamanya dengan pemuzik dari Indonesia, Vega Antares Setianegara yang turut terbabit dalam penghasilan Berjauh-an.

Aina berkata, beliau selesa bekerjasama dengan Vega kerana pemuzik itu memahami emosi dan suasana yang mahu disampaikan dalam karya berkenaan.

Sadis diperkenalkan menerusi cuitan di TikTok dan Instagram bermula 12 Jun lepas sebelum dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman digital semalam.

Berjauh-an pula boleh didengari di semua platform penstriman digital sejak 24 April lepas, manakala video muzik rasminya dilancarkan di saluran YouTube rasmi Aina Abdul pada 26 April.