SETIAP kali kita membaca berita mengenai seorang atlet muda atau individu yang kelihatan cergas tiba-tiba rebah dan meninggal dunia sewaktu bersukan, perkara pertama yang sering terdetik di fikiran kita sudah tentulah rasa terkejut.
Malah, ramai yang akan mula mempersoalkan bagaimana perkara sedemikian boleh berlaku sedangkan individu tersebut masih berada pada usia yang sangat muda dan kelihatan begitu aktif.
Hakikatnya, tanggapan bahawa usia muda merupakan jaminan untuk seseorang bebas daripada masalah kesihatan adalah kurang tepat, terutamanya apabila menyentuh tentang organ paling penting dalam tubuh kita iaitu jantung.
Menurut Pakar Perunding Kardiologi dari Gleneagles Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Akmal Arshad, persoalan mengenai usia muda ini sebenarnya tersangat sering diajukan oleh pesakit apabila mereka datang ke klinik bagi mendapatkan pemeriksaan.
Walaupun kes kematian jantung mengejut dalam kalangan golongan muda ini jarang-jarang sekali berlaku, terdapat satu keadaan yang dipanggil sebagai penyakit rentak jantung atau aritmia yang boleh menjadi punca utama di sebalik kejadian tragis ini.
Penyakit aritmia ini merupakan satu bentuk gangguan yang berlaku kepada sistem pengaliran elektrik jantung sehingga menyebabkan degupan jantung seseorang menjadi tidak normal, sama ada berdegup terlalu laju, terlalu perlahan ataupun rentaknya menjadi langsung tidak seragam.
"Ramai pesakit muda yang datang berjumpa doktor sebenarnya mengalami masalah seperti Supraventricular Tachycardia (SVT) atau denyutan tambahan jantung yang dipanggil Premature Ventricular Contractions (PVCs)," kata Dr Akmal Arshad.
Simptom jantung berdebar
Beliau turut menambah, keadaan tersebut sering kali menyebabkan seseorang itu mengalami simptom jantung berdebar-debar, rasa kurang selesa pada bahagian dada atau diserang rasa cemas, namun dalam kebanyakan kes yang dikendalikan, ia sebenarnya boleh dirawat dengan baik dan tidak membawa kepada risiko kematian mengejut.
Bagaimanapun, perkara yang jauh lebih membimbangkan para pengamal perubatan adalah kumpulan penyakit aritmia yang boleh mengancam nyawa seperti Ventricular Tachycardia (VT) dan Ventricular Fibrillation (VF).
Gangguan berbahaya itu selalunya mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan penyakit jantung yang diwarisi daripada sejarah keluarga, antaranya termasuklah keadaan otot jantung tebal atau Hypertrophic Cardiomyopathy (HCM), Brugada Syndrome, dan juga Long QT Syndrome.
Keadaan ini menjadi lebih menggerunkan kerana sesetengah pesakit langsung tidak menunjukkan sebarang simptom atau tanda-tanda awal, sehinggalah mereka tiba-tiba mengalami episod pengsan atau serangan jantung secara mengejut tanpa sempat diselamatkan.
Oleh yang demikian, doktor pakar kardiologi akan meletakkan kepentingan yang sangat tinggi terhadap sejarah kesihatan sesebuah keluarga sewaktu melakukan sesi pemeriksaan klinikal.
Jika ada dalam kalangan ahli keluarga terdekat yang pernah meninggal dunia secara mengejut pada usia yang masih muda, terutamanya ketika sedang aktif bersukan atau sewaktu sedang tidur, perkara tersebut sama sekali tidak boleh dipandang remeh atau diabaikan begitu sahaja.
Selain daripada faktor keturunan yang tidak boleh diubah, satu lagi perkara yang sering dianggap remeh oleh masyarakat kita hari ini ialah masalah berkaitan tidur.
Ramai dalam kalangan kita yang masih tidak menyedari bahawa individu yang mempunyai tabiat berdengkur dengan sangat kuat dan mengalami masalah berhenti bernafas ketika tidur atau Obstructive Sleep Apnea (OSA) sebenarnya berhadapan dengan risiko yang jauh lebih tinggi untuk mendapat gangguan rentak jantung aritmia.
Akui pakar itu lagi, apabila seseorang itu berhenti bernafas berkali-kali ketika sedang tidur, organ jantung terpaksa bekerja dengan jauh lebih keras daripada kebiasaan akibat kekurangan bekalan oksigen yang kritikal dalam badan.
"Apabila situasi ini dibiarkan berlarutan untuk jangka masa yang panjang, keadaan tersebut lama-kelamaan akan memberi kesan buruk yang nyata kepada sistem elektrik jantung kita.
"Disebabkan itulah, amalan menjaga kualiti tidur yang baik setiap malam sebenarnya merupakan sebahagian daripada tiang utama dalam penjagaan kesihatan jantung yang syumul," ujarnya lagi.
Jantung berdebar laju
Beliau turut menambah, penting untuk mana-mana individu yang sering mengalami simptom-simptom seperti jantung berdebar dengan laju untuk segera mendapatkan pemeriksaan awal.
"Selain itu, mereka yang kerap berasa pening, mudah berasa penat walaupun hanya melakukan aktiviti ringan, sesak nafas, ataupun pernah pengsan juga perlu berjumpa doktor.
"Lazimnya, doktor akan memulakan penilaian awal dengan melakukan ujian imbasan elektrik jantung atau ECG untuk melihat jika terdapat sebarang corak elektrik yang tidak normal.
"Seterusnya, jika simptom yang dialami oleh pesakit itu jenis yang datang dan pergi secara tidak menentu, penggunaan alat kecil yang dipanggil Holter Monitor boleh membantu untuk merekodkan degupan jantung pesakit secara berterusan walaupun selepas mereka pulang ke rumah," kongsi beliau.
Dedah pakar itu lagi, dengan kemajuan teknologi perubatan sekarang, sudah wujud alat Holter canggih yang mampu merekodkan ritma ECG jantung secara berterusan sehingga beberapa minggu lamanya.
"Selain itu, teknik ultrasound yang dikenali sebagai Ekokardiogram turut digunakan bagi membolehkan doktor menilai struktur fizikal serta fungsi pam jantung pesakit secara menyeluruh.
"Dengan kehadiran teknologi pengimbasan tanpa radiasi yang lebih maju iaitu Cardiac MRI, penyakit-penyakit kronik seperti Hypertrophic Cardiomyopathy serta beberapa masalah otot jantung yang dahulunya tersangat sukar dikesan, kini sudah boleh dikenal pasti dengan lebih tepat pada peringkat awal lagi,
"Ini sekali gus dapat membantu mencegah berlakunya komplikasi yang lebih serius atau meragut nyawa," ungkap pakar itu lagi.
Dedah Dr Akmal lagi, sebahagian besar daripada penyakit jantung aritmia sebenarnya boleh dirawat dengan sangat berkesan melalui pelbagai kaedah perubatan moden.
Ada dalam kalangan pesakit yang hanya memerlukan pengambilan ubat-ubatan tertentu secara konsisten untuk mengawal kelajuan degupan jantung mereka.
Manakala bagi sesetengah jenis aritmia yang spesifik seperti masalah SVT, prosedur perubatan yang dinamakan sebagai ablasi kateter mampu menghapuskan terus punca gangguan elektrik pada jantung dengan kadar kejayaan yang tersangat tinggi.
"Dalam keadaan kecemasan tertentu pula, kaedah kardioversi elektrik akan digunakan oleh doktor untuk memulihkan semula rentak jantung pesakit yang terganggu agar kembali menjadi normal.
"Bagi kes di mana degupan jantung pesakit dikesan menjadi terlalu perlahan, mereka mungkin akan memerlukan pemasangan alat bantuan perentak jantung atau pacemaker.
"Sementara itu, bagi golongan pesakit yang disahkan berisiko tinggi untuk mendapat serangan aritmia yang mengancam nyawa, pemasangan alat Implantable Cardioverter Defibrillator (ICD) adalah sangat disyorkan.
"Ini kerana, alat pintar berkenaan bertindak seumpama seorang pengawal keselamatan peribadi yang sentiasa memantau rentak jantung setiap masa dan akan memberikan rawatan kejutan elektrik dengan kadar segera sekiranya berlaku kecemasan," ujar beliau lagi.
Bantuan asas pernafasan
Selain kecanggihan alat perubatan di hospital, kewujudan alat defibrillator automatik atau AED di pusat-pusat sukan serta kawasan tumpuan awam juga terbukti mampu menyelamatkan nyawa seseorang individu sebelum pihak ambulans tiba.
Justeru, orang awam amat disarankan untuk mempelajari teknik bantuan asas pernafasan atau CPR supaya kita semua bersedia untuk menghulurkan bantuan awal yang kritikal apabila berhadapan dengan situasi kecemasan di luar jangka.
Menariknya juga, jika dilihat dari sudut psikologi manusia, masalah serangan panik sebenarnya boleh meniru sebiji-sebiji gejala penyakit aritmia kerana kedua-duanya mencetuskan simptom fizikal yang hampir serupa seperti degupan jantung yang menjadi tersangat laju, dada terasa sempit, dan pesakit mengalami sesak nafas yang teruk.
Oleh yang demikian, langkah merujuk kepada pakar perubatan yang bertauliah adalah satu tindakan yang amat penting bagi mendapatkan diagnosis yang betul dan tepat.
Langkah ini bukan sahaja kritikal untuk menolak sebarang kemungkinan adanya masalah jantung yang berbahaya, malah ia memastikan pesakit menerima pelan rawatan yang betul sama ada bagi pengurusan kesihatan mental mereka ataupun penjagaan kardiologi yang sewajarnya.
Persoalan yang lebih besar untuk kita fikirkan bersama sekarang adalah bagaimana kita boleh mengurangkan risiko keadaan ini daripada berlaku kepada diri kita.
Walaupun tidak semua orang muda diwajibkan untuk pergi menjalani pemeriksaan jantung menyeluruh, namun bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang pernah meninggal dunia mengejut, pernah pengsan tiba-tiba ketika sedang melakukan aktiviti fizikal, atau kerap mengalami simptom berdebar yang berulang, adalah wajar untuk segera mendapatkan penilaian lanjut daripada doktor.
Pada masa yang sama, usaha murni untuk menjaga kesihatan jantung ini sebenarnya boleh kita mulakan sendiri di rumah dengan mengubah perkara-perkara asas yang sering kita abaikan dalam rutin harian.
Sebagai contoh, masalah berat badan yang berlebihan, tekanan darah tinggi yang tidak terkawal, serta paras gula dalam darah yang tinggi merupakan antara faktor utama yang boleh meningkatkan risiko penyakit jantung seawal usia muda.
Oleh itu, tabiat buruk seperti merokok dan penggunaan vape mestilah dihentikan sepenuhnya dengan segera, manakala pengambilan minuman beralkohol, kopi, serta minuman bertenaga secara berlebihan hendaklah dipantau dengan ketat.
Elakkan bertangguh daripada mendapatkan pemeriksaan awal di hospital sekiranya menyedari ada sesuatu yang tidak kena pada tubuh.
Banyak masalah berkaitan jantung dapat dikenal pasti dan dirawat sebelum ia melarat menjadi komplikasi yang lebih parah jika kita mula mengamalkan gaya hidup yang aktif dan sihat.