'Kami kasihan lihat abah..." – Hilang kaki akibat kemalangan, dua beradik bangkit berniaga cendol demi ringankan beban keluarga

Iklan

UJIAN berat yang menimpa dua beradik ini dua tahun lalu, langsung tidak mematahkan semangat mereka untuk terus mencari rezeki.

Kehilangan kaki kanan akibat kemalangan ngeri pada Februari 2024 bukanlah satu penutup cerita, sebaliknya menjadi titik permulaan buat Nik Haznita Saffiya Nik Husmadi, 20, dan adiknya, Nik Haziera Saffiya, 18, untuk bangkit membina kehidupan baharu yang lebih bermakna.

Iklan
Iklan

Kongsi Nik Haziera lagi,  idea berniaga tercetus ketika ekonomi keluarga mereka berada di fasa yang sangat getir, yang mana bapanya yang merupakan seorang pesara tentera terpaksa bergantung sepenuhnya kepada hasil memancing dan menjual udang.

Melihat kepayahan keluarga selepas insiden hitam itu, dua beradik ini nekad membuka perniagaan Cendol Meleleh di tepi jalan Kampung Lebak demi membantu meringankan beban bapa mereka, Nik Husmadi Ismail, 46.

Iklan

“Kami kasihan melihat abah yang bekerja kampung untuk menyara kami sekeluarga.

“Dengan keadaan ekonomi sekarang, beban abah semakin berat. Saya dan kakak sepakat bangkit semula dan berniaga seperti dahulu untuk membantu abah dan umi.

Iklan

"Masa itu keadaan ekonomi keluarga tengah susah. Memang nak makan itu susahlah hari-hari. Abah sampai kena pergi mancing, jual udang, memang mengharapkan hasil abah jual udang masa itu.

"Dalam bulan empat, bulan lima macam itu, saya fikir dengan kakak, saya bincang dengan dia, kita sekarang dah sihat, ‘so’ adik rasa kita boleh meniaga.

"Jom kita pergi cari barang, kita buka kedai cendol," imbas Nik Haziera dengan nada penuh semangat.

Mengimbau kembali detik hitam yang mengubah takdir mereka, kisah bermula apabila motosikal yang dinaiki bersama kakaknya selepas membeli kek tapak kuda di Bera telah dirempuh oleh sebuah kereta yang cuba memotong kenderaan lain.

Dua beradik itu kemudiannya tercampak ke laluan bertentangan lalu dilanggar sebuah lori.

Akibat kemalangan itu, Nik Haznita kehilangan kaki kanannya di tempat kejadian, manakala Nik Haziera pula terpaksa akur apabila kaki kanannya juga terpaksa dipotong setahun kemudian berikutan masalah saraf yang rosak selepas besi dikeluarkan.

Namun, di sebalik ujian fizikal yang begitu berat bagi gadis seusia mereka, ketabahan dua beradik ini sangat luar biasa dan mengagumkan apabila mereka memilih untuk tidak meratapi nasib.

Nik Haziera yang juga merupakan atlet pelapis lawan pedang kerusi roda negara menegaskan bahawa mereka reda dan tetap menjalani kehidupan seperti biasa.

"Kami berdua sebenarnya, tak pernah rasa ‘down’ yang macam mana kalau tak ada kaki macam itu, macam meroyan ke macam menangis yang macam itu, tak pernah lagi rasa, sebab kami rasa biasa sahaja.

"Walaupun kaki tak ada, kami rasa macam kami yang dulu. Cumanya jalan pakai tongkat," katanya optimis.

Langkah kanan mereka dalam dunia perniagaan ini turut dipermudahkan dengan pelbagai bantuan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Petronas, serta Kerajaan Negeri Pahang.

Nik Haziera amat menzahirkan rasa syukur atas sokongan tersebut yang menjadi pemangkin buat mereka untuk berdiri di atas kaki sendiri menerusi perniagaan ini.

"Terima kasih kepada pihak JKM, pihak YB. Terima kasih sebab bantu kami dulu. Sebabkan jasa anda semua, kami sekarang dah boleh buka kedai cendol.

"Kami sihat. Harapan kami, azam kami nak buka kedai cendol. Kami nak naik kedai dekat sini. Insya-ALLAH nak buka meja.

"Itulah harapan kami suatu hari nanti. Nak kembangkan lagi," kongsinya yang kini aktif melakukan siaran langsung di TikTok bagi mempromosikan Cendol Meleleh.

Bercerita mengenai keistimewaan menu yang diusahakan, nama Cendol Meleleh itu sendiri diinspirasikan daripada cara penyediaannya yang unik dan melimpah.

Apa yang membedakan gandingan menu mereka adalah penggunaan cendol buatan sendiri yang digabungkan bersama santan sawit serta rahsia kemanisan tiga jenis gula iaitu gula kabung, gula merah, dan gula pasir.

Dijual pada harga RM5 untuk saiz cawan sederhana dan RM7 untuk cawan besar, usahawan muda ini juga sedia menerima tempahan katering bagi menyerikan pelbagai majlis seperti kenduri kahwin dan akikah.

Sumber: Sinar Harian & Pahang Media