KELUARGA penyanyi popular Tomok dan isterinya, Ayu Abas sering menjadi sorotan media. Sempena ulang tahun perkahwinan ke- 15 tahun, ucapan isterinya menyentuh hati warga maya.
Apa yang lebih manis, ulang tahun kali ini diraikan selepas pasangan merpati dua sejoli itu selamat kembali ke tanah air selepas menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.
Ayu atau nama penuhnya Rahayu Abas menerusi satu hantaran di laman Instagram meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga atas segala nikmat, ujian dan kematangan yang mendewasakan hubungan mereka sepanjang lebih sedekad bergelar suami isteri.
Bukan satu tempoh yang singkat, namun ujar Ayu, setiap detik yang dilalui bersama penyanyi lagu Sejarah Mungkin Berulang itu sangat bernilai.
"Selamat ulang tahun perkahwinan yang ke-15 + 8 (uninclude). It was a long journey, but we made it together. Every moment was worth it. Dan masih panjang lagi perjalanan dan langkah kita bersama," tulisnya.
Dalam pada itu, Ayu sempat berkongsi sepotong ayat al-Quran yang menyentuh tentang kurniaan rasa kasih dan sayang antara pasangan suami isteri.
"Alhamdulillah atas setiap nikmat yang ALLAH berikan. Terima kasih kerana sentiasa ada dalam setiap suka dan duka....
"Semoga ALLAH sentiasa melimpahkan rasa kasih dan sayang serta kebahagiaan yang berpanjangan dan menjadikan setiap langkah yang kita lalui bersama sebagai jalan menuju reda-NYA. Buat kita bersama anak-anak. Hingga ke syurga, Ayu sayang Shah," titip Ayu.
Menjengah ke ruangan komen, warganet mendoakan agar mahligai pasangan itukekal bahagia sehingga ke syurga di samping memuji panggilan istimewa 'Shah' yang eksklusif digunakan oleh Ayu buat suaminya.
Sekadar info, buat Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan, 42, mendirikan rumah tangga dengan Ayu, 47, pada 2 Julai 2011.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Arrianshah Akid, 13, Andrashah Iman, 10, dan seorang anak perempuan, Siti Khadijah, 6.